"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KBS mahu penganjur bertanggungjawab kematian pelumba drag

Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my

Putrajaya: Penganjur perlu bertanggungjawab, itu jawapan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung insiden kematian yang menyebabkan pelumba drag profesional, Hattem Rashdi meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan Ahad lalu.

Menurut Ketua Setiausaha (KSU) KBS Dr K Nagulendran, penganjur Malaysia Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 perlu bertanggungjawab kerana perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan daripada Persatuan Permotoran Malaysia (MAM).

"Perlumbaan itu tidak mendapat kelulusan MAM kami (KBS) sudah membuat semakan. Selepas ini pihak kami akan adakan perbincangan dan melakukan tindakan susulan dengan MAM. MAM sendiri juga perlu melakukan tindakan susulan dengan penganjur berhubung insiden berkenaan," kata Nagulendran di sidang media Hari Sukan Negara (HSN) 2023 di Menara KBS hari ini.

Ujarnya, KBS sentiasa mempromosikan penganjuran sukan secara selamat dan bukan sahaja fizikal tetapi juga mental melalui Kod Sukan Selamat berkaitan perlakuan buli dan gangguan seksual.

"Berkaitan aktiviti (perlumbaan) hujung minggu lalu kita sudah semak ia tidak mendapat kelulusan dan bukan program yang disokong KBS. Kita harap semua persatuan, kelab sukan jalankan aktiviti dengan mendapat kelulusan daripada persatuan sukan masing-masing.

"Mereka juga perlu mendaftar dan mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan. Kami kesal insiden ini berlaku, penganjur harus bertanggungjawab, saya tidak rasa ia sesuatu yang betul mengadakan perlumbaan tanpa kelulusan dan langkah-langkah keselamatan," katanya.

Mangsa yang berusia 22 tahun terbabit kemalangan pada hari pertama perlumbaan pada 1 pagi Ahad lalu di Pekan, Pahang, selepas motosikal ditungganginya terbabas.

Hattem yang mewakili pasukan berpangkalan di Perlis, ESR Motor dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan memandangkan keadaannya makin tenat.

Menurut Pemilik ESR Motor, Adib Affandi Mohamad memaklumkan Hattem disahkan meninggal dunia pada 3.45 petang semalam dan jenazahnya akan dibawa ke kampung halaman di Alor Janggus, Kedah untuk urusan pengebumian.

Mengikut rekod, kematian membabitkan pelumba drag bukannya kali pertama kerana pada Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu, Oktober tahun lalu menyaksikan seorang pesertanya maut ketika perlumbaan.

Selang dua bulan kemudian, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato' Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.

Tiada ulasan: