"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saman RM1 juta wajar, banteras budaya fitnah

HarapanDaily.com

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad bersetuju dengan tindakan naib pengerusinya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mengemukakan saman bernilai RM1 juta terhadap pendakwah bebas dan bekas AJK Pas Pusat Ahmad Dusuki Rani kerana ia dapat mengawal dan membanteras budaya fitnah.

“Ia pasal Dusuki masih lagi mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya berkaitan dengan Tabung Haji (TH).

“Kali ini saya harap Dr Mujahid tidak berlembut hati sehingga melepaskannya kerana dia (Dusuki) telah menunjukkan bahawa dia seorang manusia yang tidak tahu berterima kasih.

“Dusuki masih nak menegakkan benang yang basah walaupun sudah jelas apa yang dia tuduh, fitnah terhadap Dr Mujahid itu terbukti tidak berasas,” kata Khalid.

“Tindakan yang diambil oleh Dr Mujahid adalah wajar agar budaya fitnah dapat dikawal dan dibanteras,” ujarnya.

Mujahid menjelaskan, tindakan undang-undang itu diambil selepas Dusuki memfitnah dirinya secara berterusan.

Katanya, kenyataan berunsur fitnah itu dikeluarkan susulan kekalahan Dusuki dalam saman fitnah terhadapnya sebelum ini.

Dalam pada itu, Mujahid menambah peguamcaranya turut mengeluarkan notis semalam (kelmarin) bagi menuntut Dusuki membayar keseluruhan kos yang diperintahkan oleh mahkamah sebelum ini berjumlah RM23,000 dalam tempoh 14 hari.

“Sekiranya dia gagal mematuhi tuntutan, saya tidak teragak-agak akan teruskan dengan tindakan Mahkamah terhadap Dusuki, termasuk prosiding menghina mahkamah,” katanya.

Fitnah berterusan selepas tarik balik rayuan
Pada 29 Ogos lalu, Ahmad Dusuki yang menarik balik rayuan berhubung saman fitnah terhadap Mujahid menyindir bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kerana dapat menyelamatkan hampir RM300 juta nilaian tanah ladang harta pendeposit Tabung Haji (TH).

Ahmad Dusuki menafikan kalah selepas menarik balik rayuan berhubung saman fitnah pada 28 Ogos lalu.

Rayuan Ahmad Dusuki itu membabitkan isu di sebalik penjualan aset TH dan berkaitan ciapannya: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan.”

Susulan penarikan balik rayuan itu pada Isnin lalu, Ahmad Dusuki diperintahkan membayar kos RM5,000.

Mahkamah Sesyen Shah Alam di Selangor sebelum ini, menolak saman fitnah itu dengan kos RM11,000 sebelum penceramah bebas itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Tiada ulasan: