"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes DNAA Zahid: Muda ugut tarik sokongan dan turun kejalanraya

Muda beri amaran tarik sokongan, k'jaan boleh hilang majoriti 2/3
Isabelle Leong

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memberi amaran untuk menilai sokongan terhadap kerajaan serta turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Presiden Umno Zahid Hamidi.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata keputusan semalam menunjukkan bahawa “red line (batasan) terbesar” dilanggar.

“Sebab itu Muda ambil langkah gerakkan kempen protes di jalan raya dan media sosial dan juga kempen dakwa Zahid,” katanya.

Walaupun hanya mempunyai satu kerusi parlimen, kerajaan boleh hilang majoriti dua pertiga dalam parlimen jika Muda berbuat demikian.

Kerajaan kini disokong oleh 148 anggota parlimen, jumlah asas untuk membentuk dua pertiga dalam parlimen.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding.

Antaranya Dusuki berkata dia menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menghentikan pertuduhan terhadap Zahid dan memaklumkan mahkamah bahawa kes itu hendaklah diklasifikasikan sebagai DNAA.

Dusuki antaranya memberitahu mahkamah bahawa Zahid membangkitkan isu yang amat serius dalam surat representasinya, antaranya berkenaan dakwaan dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan sebelum ini.

Perkara itu mengundang kritikan pelbagai pihak, termasuk daripada pemimpin dan parti kerajaan sendiri, kerana pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.

Sementara itu, Setiausaha Agung Muda Amir Hariri Abd Hadi berkata kempen dakwa Zahid yang digerakkan mereka akan menuntut tiga perkara, iaitu:

Jabatan Peguam Negara perlu menjelaskan kepada parlimen yang akan bersidang minggu depan, bukan melalui kenyataan media saja.

Kuasa peguam negara mesti dipisahkan daripada peranan pendakwa.

Zahid harus dituduh semula di mahkamah dengan segera.

Sementara itu, Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz pula berkata keputusan semalam menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius melawan salah guna kuasa.

Dia menyuarakan kebimbangan perkara itu akan menjadi duluan kepada kes-kes lain.

“Adakah selepas ini sudah masuk (ke tahap) pembelaan, AGC boleh mohon adakan DNAA?” soalnya.

Tiada ulasan: