FMT Reporters
PETALING JAYA: Hamzah Zainudin dijangka antara calon utama disebut-disebut mengisi kerusi nombor satu parti jika Muhyiddin Yassin memutuskan untuk tidak bertanding pada pemilihan akan datang.
Menurut sumber parti, Muhyiddin kemungkinan akan berundur daripada bertanding sebarang jawatan, tambahan hasratnya itu sudah lama dimaklumkan kepada kepimpinan parti.
“Tan Sri (Muhyiddin) mungkin akan undur diri dan menjadi penasihat kepada parti,” kata sumber itu sambil menambah, Ahli Parlimen Larut mempunyai sokongan kuat dalam kalangan ahli Bersatu untuk memimpin parti itu.
Timbalan Presiden Faizal Azumu pula katanya, dijangka akan terus mempertahankan jawatan nombor dua parti kerana tidak mempunyai pengaruh kuat untuk mencabar Hamzah.
“Peja dijangka akan pertahan timbalan, tetapi kalau pergi lagi (presiden), memang makan diri sendiri kerana reputasi dia di dalam parti jatuh merudum selepas memimpin PN di Negeri Sembilan.
“Berbanding Hamzah, kredibilitinya terbukti dengan memegang pelbagai jawatan antaranya Ahli Parlimen Larut, ketua pembangkang, dan setiausaha agung Bersatu dan PN,” menurut sumber itu.
“Memang laluan mudah untuk Hamzah (memang tanpa bertanding),” tambahnya.
Pada Mei lalu, Bersatu menangguhkan pemilihan majlis pimpinan tertinggi (MPT) dan bahagian hingga 18 bulan bagi memberi ruang menghadapi PRN. Bagaimanapun, penangguhan itu tidak termasuk pemilihan peringkat cawangan.
Berdasarkan perlembagaan parti, sumber berkata mana-mana ahli yang berhasrat untuk bertanding jawatan “top 5” parti mesti menganggotai MPT sekurang-kurangnya dua penggal penuh.
“Boleh bilang dengan jari siapa MPT yang sudah dua penggal… Hamzah, Peja, Wan Saiful Wan Jan, Ronald Kiande, Rosol Wahid, Radzi Jidin antaranya,” kata sumber itu.
Tambahnya, Azmin yang memegang jawatan MPT pula tidak layak untuk bertanding kerana hanya dilantik ke jawatan berkenaan, bukan melalui pemilihan parti.
“Melainkan, perlembagaan parti dipinda dan membolehkan mana-mana ahli Bersatu bertanding jawatan lebih tinggi.”
FMT sedang mendapatkan komen Hamzah mengenai perkara ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris ketika dihubungi FMT berkata pemilihan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat pimpinan parti yang akan diadakan selepas PRK di Johor selesai.
“Tangguh 18 bulan maksimum, tetapi kalau kita sempat selesai awal masalah sikit-sikit mengenai pindaan (perlembagaan) kita akan buat lebih awal.
“Kita tengah susun cawangan, bahagian… kita ada nak ubah peraturan sikit. Pinda sikit untuk pemilihan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan