"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak usah jual agama kerana nak kerusi, Pesan Umno buat PN

Alyaa Alhadjri

Naib Presiden Umno, Johari Abdul Ghani mengingatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) agar tidak menjual agama, semata-mata untuk memenangi pilihan raya.

Ini kerana katanya, akan menghalang orang Melayu-Islam daripada membuktikan kredibiliti sebenar mereka yang dipilih untuk memimpin negara.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling, Johari menggesa orang Melayu secara keseluruhannya supaya memahami bahawa Islam itu sebenarnya menggalakkan pembangunan.

“Jangan pakai slogan membangun negeri ke belakang. 

“Tak usah jual agama kerana nak kerusi. Jual agama untuk kerusi kita tak boleh buktikan agama kita dipimpin orang yang boleh bangunkan negara,” katanya ketika bersama membantu dalam kempen calon Pakatan Harapan (PH) Pulai, Suhaizan Kaiat dalam program Ziarah Kasih bersama penduduk Kampung Orang Asli Bakar Batu, Perling, Johor Bahru.

Merujuk negeri-negeri pimpinan PN di Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah, ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata terdapat pelbagai dinamik dalam politik tetapi pembangunan kekal sebagai bukti kepimpinan yang paling penting.

“Yang penting tunjukkan hasil bagaimana kamu bangunkan Perlis, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

“Barulah orang percaya kepimpinan Islam (itu) progresif walaupun kita konservatif. Kita nak tunjuk kepada rakyat,” katanya. 

Sebagai perbandingan, Johari merujuk kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan DAP di Pulau Pinang yang menyaksikan perkembangan yang lebih progresif di bawah seorang ketua menteri bukan Melayu.

“Pulau Pinang, contohnya walaupun bukan dipimpin pemimpin Islam tapi mereka progresif,” katanya.

Selanjutnya, Johari berkata kehadiran jentera BN membantu calon PH di Pulai dan Simpang Jeram adalah sebagai membalas "keikhlasan" yang ditunjukkan oleh  sekutu baharunya selepas pilihan raya umum ke-15 lalu.

Antara lain, dia menyebut tentang sokongan PH kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri di Perak dan Pahang apabila gabungan BN pimpinan Umno gagal memperoleh kerusi yang mencukupi pada PRU15 untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Begitu juga semasa enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos lalu, lepas, Johari berkata BN hanya memenangi dua daripada 12 kerusi yang diperuntukkan di Selangor sehingga menyebabkan kerajaan pimpinan PH hilang  majoriti dua pertiga dalam DUN negeri itu.

“Sebab itu BN bila sampai di Pulai ini, PRU lepas dimenangi PH melalui amanah bukan menang (dengan kelebihan) 100-200 [...] dia menang 30,000 (majoriti). 

“Kita kena bagi balik hak kepada parti ini kita juga nak tunjukkan keikhlasan. Ini yang penting,” kata Johari.

Sementara itu, Suhaizan berkata terdapat 55 keluarga Orang Asli menetap di tanah seluas 5.7 hektar yang telah digazetkan itu, dan pembangunan yang dirancang pada masa hadapan termasuk pembinaan sebuah jeti nelayan baharu.

Katanya, jeti baharu itu akan membantu penduduk tempatan yang kebanyakan mereka nelayan, selain membuka peluang agropelancongan di kawasan itu.

“Dengan itu, pendapatan penduduk tempatan dapat ditingkatkan dan akan ada bot khusus di kawasan ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 9 Sept sebagai hari mengundi n bagi kedua-dua PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Tiada ulasan: