HarapanDaily.com
AKMAL MANAF
Tindakan seorang pengguna Facebook, Iman Mustaqim yang membuat kenyataan jelik terhadap Sultan Selangor, membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000.
Hakim Mahkamah Sesyen N Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman kepada Iman Mustaqim yang juga penganggur atas dua pertuduhan, termasuk membuat kenyataan bersifat jelik terhadap Sultan Selangor.
Hakim, N Priscilla Hemamalini memutuskan hukuman tersebut selepas Iman Mustaqim atau nama sebenarnya, Mohamad Azlan Ibrahim, 47, mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukum.
Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Azlan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya terhadap Sultan melalui Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Iman Mustaqim’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 28 Ogos lepas.
Hantaran itu dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 11.57 pagi, 29 Ogos lalu dan tertuduh melakukan kesalahan mengikut Perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menjaga ibu yang sakit.
“Saya juga perlu bawa bapa saudara yang buta ke hospital untuk ambil ubat,” katanya seperti dilapor.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob memohon tertuduh dikenakan hukuman penjara dan denda tinggi.
“Alasan kesalahan dilakukan adalah serius kerana memuat naik hantaran yang bersifat jelik, menyakitkan hati orang dan menghina Sultan Selangor,” katanya.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah, atas tuduhan gagal memberi kata laluan aplikasi Facebook miliknya, di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 11.25 pagi, 31 Ogos lalu.
Tertuduh turut ditahan pada tarikh sama.
Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 242 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan