"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tukang urut tak mengaku guna kekerasan cabul pesakit wanita

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
ZAINAL ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Faizul Azlan Razak
ZAINAL ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Faizul Azlan Razak
Kuala Terengganu: Seorang tukang urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mencabul pesakitnya.

Tertuduh, Zainal Che Omar, 62, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan mencabul seorang wanita yang berusia 31 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di daerah ini, antara 8 malam hingga 8.45 malam pada 26 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: