"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH gesa Peguam Negara beri penjelasan kes Zahid

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

AMANAH mahu Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara memberi penjelasan terperinci mengenai alasan yang menyebabkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, parti itu yakin bahawa proses perundangan dan prosiding mahkamah sepanjang perjalanan kes tersebut telah pun dicermati dan diadili oleh Hakim.

Bagaimanapun menurutnya, penjelasan terperinci akan dapat memberi pencerahan kepada semua pihak sekaligus mengangkat integriti institusi undang-undang negara khususnya Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“AMANAH menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid semalam atas prinsip Kedaulatan Undang-undang (Rule of Law) yang didukung oleh AMANAH selama ini.

“Namun begitu, AMANAH ingin menzahirkan pandangan atas dasar integriti dan kebertanggungjawaban supaya Peguam Negara atau Jabatan Peguam Negara memberikan suatu penjelasan terperinci mengenai hujah atau alasan yang mendorong kepada keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam berkaitan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Keputusan itu dibuat Hakim, Collin Lawrence Sequerah, selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, ketika kes itu sedang berada peringkat prosiding bela diri.

Tiada ulasan: