"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Taklik cerai kerana politik tanda wujud indoktrinasi melampau

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Politik negara disifatkan sedang menuju ke arah kekacauan yang parah susulan tindakan seorang lelaki melafazkan taklik cerai terhadap isterinya jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, menggadaikan hubungan keluarga atas perkembangan politik semasa menunjukkan kematangan yang sangat rendah.

Beliau juga percaya lelaki tersebut telah menerima indoktrinasi politik yang melampau oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

“Ini adalah politik ekstrem tahap tinggi, fanatik hingga ke tahap memutuskan hubungan suami isteri menandakan politik di negara ini menuju ke arah kekacauan yang parah.

“Kami berpandangan individu berkenaan telah menerima indoktrinasi politik melampau akibat pemimpin politik pembangkang menanamkan persepsi di luar kerangka demokrasi yang matang.

“Individu tersebut menjadi mangsa kepada kempen yang agresif, menanam kebencian keterlaluan untuk menjatuhkan kerajaan melalui label dan menggunakan sentimen perkauman serta agama,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azmi memaklumkan, parti pembangkang amat gelojoh untuk merebut kuasa dengan kaedah matlamat menghalalkan cara.

Tambah beliau, sentimen kebencian yang melampau sanggup memporak perandakan masyarakat hingga ke tahap merosakkan institusi kekeluargaan.

“Malangnya, pemimpin parti pembangkang sanggup mengelirukan masyarakat sehingga wujud kes penceraian seperti yang dilakukan oleh individu itu, hanya kerana politik sempit.

“Sikap ini sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan tanpa ditegur ahli agamawan,” ujarnya.

Seorang lelaki pada Februari lalu yang bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan sehingga bulan Ogos.

Dia kemudian membuat laporan polis dan menafikan bahawa dia menulis hantaran seperti yang disebarkan di media sosial itu.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, dari sudut hukum, apa-apa taklik tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan.

Beliau berkata, adalah amat tidak bertanggungjawab apabila taklik dikaitkan dengan penceraian talak tiga kepada seorang isteri kerana isteri tidak boleh dijadikan objek atau pertukaran kepada sesuatu taklik.

Tiada ulasan: