"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KPDN serbu restoran sorok gula, minyak masak bersubsidi

Bernama

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merampas sejumlah 550kg gula pasir dan minyak masak peket yang disorokkan oleh sebuah restoran.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata rampasan itu hasil serbuan ke atas restoran berkenaan di Pusat Perniagaan Jelatang di sini, sekitar 1 tengah hari tadi.

“Hasil maklumat dan aduan orang ramai, restoran itu dipercayai menyorok serta menggunakan barangan bersubsidi tersebut.

“Risikan dan penyamaran yang dilakukan anggota KPDN mendapati restoran itu menyorokkan 300kg gula pasir dan 250kg minyak masak peket satu kilogram, yang mana boleh menampung kegunaan bagi 133 isi rumah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata premis itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Norena berkata antara alasan yang diberikan adalah barangan itu digunakan untuk perniagaan restoran berkenaan.

“Mengikut peraturan, barangan bersubsidi tidak boleh digunakan untuk perniagaan, hanya untuk kegunaan isi rumah.

“Jika membeli dan menyimpan minyak masak peket melebih 12kg, mereka perlu mendapatkan permit daripada KPDN, seperti yang tertakluk di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021,” katanya.

Pemegang permit juga katanya hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi daripada pemborong berlesen yang sah.

“Jadi, KPDN memberi amaran kepada semua peniaga yang menggunakan dan menyimpan barang kawalan berjadual bagi kegunaan perniagaan agar mendapatkan permit,” katanya.

Tiada ulasan: