"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ini apa yang dijangka bakal berlaku dalam rombakan kabinet

HarapanDaily.com

Rombakan Kabinet hari ini dijangka tampil lima muka baharu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka mengumumkan rombakan Kabinet hari ini.

Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan yang terbabit dengan rombakan itu dijadualkan berlangsung di Istana Negara, pada jam 2.30 petang.

Majlis akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Lapor BH, rombakan jemaah menteri itu dijangka menampilkan lima muka baharu dan enam perubahan portfolio.

Memetik sumber, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkemungkinan besar menyandang jawatan Menteri Kewangan II.

Amir Hamzah menyertai KWSP pada Mac 2021. Beliau merupakan anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden Petronas, Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin.

Nama yang juga disebut-sebut bakal kembali ke Putrajaya ialah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Parlimen Kuala Selangor dari AMANAH itu dikatakan kembali ke jawatan pernah disandangnya sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Dr Zaliha Mustafa.

Sementara itu, Gobind Singh Deo bakal kembali ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dijangka dipisahkan.

Anak mendiang Karpal Singh berkenaan sebelum ini adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Jawatan Menteri Sumber Manusia disandang V Sivakumar pula disebut akan digantikan dengan Steven Sim yang pada masa ini merupakan Timbalan Menteri Kewangan II.

Rombakan selepas setahun Kerajaan Perpaduan juga menyaksikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut dikhabarkan menyertai Kabinet.

Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut pernah menduduki jawatan Menteri Kewangan II antara Jun 2016 hingga Mei 2018 iaitu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Satu lagi nama yang terlibat dalam rombakan jemaah menteri diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ialah Datuk Armizan Mohd Ali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkenaan dijangka akan berpindah mengetuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Tiada ulasan: