"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

6 remaja bersalah terlibat penggal kepala guru

KOSMO!
PATY mati dibunuh di Paris pada 16 Oktober 2020. - Foto NurPhoto/Getty Images
PARIS  – Mahkamah juvana Perancis semalam mendapati enam remaja bersalah kerana peranan mereka dalam kejadian kepala seorang guru dipenggal oleh ekstremis Islam, Abdoullakh Anzorov di Paris, lapor portal berita NBC News.

Kepala mangsa, Samuel Paty dipenggal di luar sekolahnya selepas dia menunjukkan karikatur kononnya Nabi Muhammad SAW di dalam kelas semasa perdebatan mengenai kebebasan bersuara pada 16 Oktober 2020.

Penyerang  berketurunan Chechnya di  Russia itu kemudian dibunuh oleh polis.

Mahkamah mendapati lima daripada defendan  yang berusia 14 dan 15 tahun pada masa kejadian,  bersalah kerana menghendap guru itu dan mengenal pasti mangsa sebagai sasaran serangan. 

Seorang lagi defendan yang berusia 13 tahun ketika itu pula didapati bersalah berbohong mengenai perbahasan berkenaan sehingga meningkatkan kemarahan terhadap guru tersebut di internet.

Tertuduh keenam itu secara salah mendakwa bahawa Paty meminta para pelajar Islam mengangkat tangan dan meninggalkan bilik darjah sebelum mangsa didakwa menunjukkan kepada kelas kartun biadab itu.

Dia sebenarnya tidak berada di dalam bilik darjah pada hari kejadian. Tertuduh keenam kemudian memberitahu polis bahawa dia telah berbohong.

Kesemua mereka dijatuhi hukuman penjara singkat atau penangguhan hukuman penjara.

Mereka meninggalkan bilik mahkamah tanpa bercakap dengan ada yang menundukkan kepala ketika mendengar keputusan itu, manakala seorang lagi kelihatan mengesat air matanya.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup dan media tidak dibenarkan mendedahkan identiti defendan berdasarkan undang-undang Perancis mengenai kanak-kanak bawah umur. – AGENSI

Tiada ulasan: