"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi cabar pempengaruh 'YB Viral' berdebat

NURATIKAH ATHILYA HASSAN

SHAH ALAM - Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mencabar seorang pempengaruh yang menggelarkan diri sebagai YB Viral untuk berdebat secara langsung supaya kedua-dua pihak dapat berkongsi pandangan dan membentangkan fakta kepada rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, YB Viral dipercayai penyokong Perikatan Nasional (PN) telah memainkan sentimen yang tidak memberi gambaran dan perspektif sebenar mengenai sesuatu isu.

“Budaya ini berbahaya dan ramai pempengaruh merasakan mereka boleh berselindung menggunakan nama samaran.

"Contohnya, seorang yang kerjanya mencarut dan memaki hamun saban hari di TikTok tetapi menganggap dirinya wakil rakyat. Namanya YB Viral.

“Saya berpandangan budaya ini perlu ditangani.

"Cara menanganinya adalah supaya pimpinan politik seperti saya berdepan sendiri dengan rakyat dalam satu sesi untuk menjawab dan bertanya.

“Rakyat tanya saya jawab, saya tanya kepada rakyat (untuk berkongsi pemahaman), maka wajarlah rakyat jawab,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Jumaat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut berkongsi surat jemputan debat daripada Pejabat Menteri Ekonomi yang dihantar kepada individu terbabit dengan cadangan ia diadakan pada Isnin depan atau satu tarikh dipersetujui bersama.

Surat berkenaan menetapkan sesi debat di antara kedua-dua pihak dalam Podcast diberi nama Yang Bakar Menteri perlu disiarkan secara langsung di media sosial Rafizi.

YB Viral juga diminta berkongsi maklumat peribadi seperti nama penuh dan nombor kad pengenalan bagi tujuan dokumentasi dan keselamatan.

“Jika dia berani tampil dengan mengisi borang maklumat peribadinya dan mengembalikan borang ke pejabat saya.

“Insya-ALLAH, saya bagi ruang seluasnya untuk dia bakar saya dan buktikan saya menteri paling bodoh, seperti yang dijerit-jeritnya selama ini,” ujar Rafizi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa budaya menyebarkan pembohongan sewenang-wenangnya akan mendedahkan rakyat kepada tindakan undang-undang.

Katanya, individu yang menyebarkan perkara fitnah boleh diambil tindakan bawah kanun keseksaan dan disaman secara sivil jika ada laporan polis dibuat.

“Lebih berbahaya, netizen yang membuat komen kepada kandungan-kandungan pempengaruh ini yang menambah lagi pembohongan dan kebencian juga boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan: