"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amah Indonesia, suami cangkul majikan hingga mati dipenjara 35 tahun

FMT Reporters
Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun terhadap amah Indonesia, Ekalia dan suaminya, Bartolomeus Fransceda atas tuduhan membunuh majikan dijaga mereka, tiga tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang amah Indonesia dan suaminya dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh majikan dijaga mereka dalam kejadian tiga tahun lalu.

Tertuduh pertama, Bartolomeus Fransceda, yang juga tukang kebun di rumah warga emas itu turut dihukum 12 sebatan manakala isterinya selaku tertuduh kedua, Ekalia hanya dijatuhkan hukuman penjara.

Keputusan dibuat Hakim Abu Bakar Katar selepas mengambil kira dan menimbangkan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

“Mahkamah ini turut mengambil kira kenyataan impak mangsa dan fakta kes yang dibentangkan pendakwaan serta prinsip-prinsip penghukuman, mahkamah ini menjatuhi hukuman.

“Oleh itu, tertuduh pertama dijatuhkan hukuman penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan sebatan rotan 12 kali, manakala tertuduh kedua dihukum penjara 35 tahun mulai tarikh tangkap dan tiada sebatan rotan,” katanya menurut Berita Harian.

Pada 29 November lalu, Ekalia dan Bartolomeus, yang kedua-duanya 23 tahun, menukar pengakuan mereka kepada bersalah atas tuduhan membunuh majikan dijaga mereka, tiga tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Lau Yen Na, 73, di sebuah rumah di Palm Resort, Senai, Kulai, kira-kira 2 petang, 17 Mac 2020.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan 12 sebatan.

Mengikut fakta kes, berdasarkan siasatan dan analisis kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian, tertuduh pertama dan kedua telah membunuh si mati dengan menggunakan cangkul kecil mempunyai dua mata tajam.

Mereka memukul si mati dengan cangkul kecil itu pada kepala ketika si mati sedang berehat, sebelum mereka mengambil Toyota Alphard serta telefon bimbit mangsa untuk ke Kuala Lumpur dan bertemu rakan bagi mencari kerja baharu.

Kedua-dua tertuduh ditahan di sebuah restoran di Damansara sebelum hasil analisis patologi mendedahkan punca kematian mangsa adalah kerana luka tetak berganda di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala dua tertuduh diwakili peguam Ooi Pen Lyn dan S Selvi.

Tiada ulasan: