Agensi
PADA usia 70 tahun, Dai memenangi pingat emas dalam pertandingan tarian tiang profesional. FOTO Douyin
Beijing: Dengan solekan glamor, skirt mini dan kasut tumit tinggi, Dai Dali, 78, berputar dengan anggun, melakukan belahan dan tergantung terbalik dari tiang di atas pentas.
Memetik laporan South China Morning Post (SCMP), bekas pekerja kedai buku di wilayah Sichuan, barat daya China itu sudah menyertai tarian tiang sejak dia bersara pada usia 64 tahun.
Penari tiang tertua di China itu menikmati hobinya dan berjaya memikat pemerhati dengan keazamannya untuk terus menari sehingga usia 80-an.
Dai yang membuat sesi siaran langsung sesi latihan hariannya di media sosial Douyin, berjaya menarik kira-kira 180,000 pengikut.
"Jangan biarkan umur mengehadkan kita. Saya mahu menua dengan anggun," kata Dai.
Pada usia 70 tahun, Dai memenangi pingat emas dalam pertandingan tarian tiang profesional.
Dia mempamerkan bakatnya di stesen penyiaran CCTV, mewakili China dalam pertandingan Asia's Got Talent, dan dijemput untuk membuat persembahan di Rancangan Realiti NBC, Little Big Shots: Forever Young.
Pada persembahannya di Asia's Got Talent, Dai menerima tepukan gemuruh daripada keempat-empat juri.
"Saya rasa saya bertemu isteri saya yang seterusnya," kata salah seorang juri, penerbit muzik Amerika Syarikat, David Foster, secara berseloroh.
Dai menjawab bahawa dia berasa sangat berbesar hati, tetapi membalas dengan nada melawak bahawa Foster terlalu muda untuk dirinya.
DAI yang membuat sesi siaran langsung sesi latihan hariannya di media sosial Douyin, berjaya menarik kira-kira 180,000 pengikut. FOTO Douyin
Dai tertarik dengan hobi itu sebagai cara untuk kekal cergas ketika berusia 64 tahun.
Terdapat sebuah studio tarian tiang berhampiran gimnasium tempat dia menghadiri kelas tarian rakyat, dan dia tertarik dengan perasaan 'terbang' di udara.
Apabila dia mula berlatih, kakinya sering lebam, tetapi dia menikmati semua proses dan anggap ia cabaran.
"Saya pernah mengalami keradangan dan bengkak di pergelangan tangan kiri sebelum saya mula menari tiang.
"Saya hampir tidak boleh berbuat apa-apa dengan tangan saya. Tetapi sekarang ia lebih baik," kata Dai kepada SCMP pada 2015.
Di media sosial, ada yang mengkritiknya kerana mengambil hobi seksual dan menggoda, tetapi dia memilih untuk mengabaikan komen sedemikian.
"Apabila saya berputar di atas tiang dan melakukan gerakan yang saya suka, saya berasa cantik," katanya.
Dia juga sudah memasang tiang sepanjang 2.7 meter di bilik tidurnya di rumah untuk latihan harian.
Keluarganya sangat menyokong, walaupun suaminya lebih suka bermain mahjong. Cucunya pula adalah peminat setianya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan