"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Resit pesanan pelanggan hina Islam, empat termasuk suami isteri ditahan

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Bayan Lepas: Empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan kes resit pesanan pelanggan sebuah restoran rangkaian piza di Kenari Avenue di sini, yang didakwa menghina Islam pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, tiga warga Myanmar termasuk sepasang suami isteri serta seorang lelaki tempatan itu ditahan di sebuah pondok dusun durian di Sungai Ara di sini, pada 16 Mei lalu.

Katanya, lelaki tempatan berusia 67 tahun adalah majikan manakala tiga lagi yang berusia antara 19 dan 28 tahun itu pula adalah pekerja kebun durian.

"Tiga suspek Myanmar itu direman sehingga 3 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Sementara, lelaki warga tempatan itu pula dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman terhadapnya tamat Isnin lalu.

"Setakat ini, kita sudah terima sebanyak 17 laporan polis berkaitan kes berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau pinang, di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan polis merakamkan keterangan lapan individu bagi membantu siasatan kejadian berkenaan yang mana dua daripadanya adalah pekerja rangkaian piza terbabit.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata polis belum merakam percakapan lelaki yang ditemukan selamat selepas empat hari dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Hill Top Batu Kawan, di sini.

Katanya, percakapan lelaki itu akan diambil apabila mangsa kembali pulih kelak.

"Kita belum merakam percakapan sebab mangsa masih dalam rawatan di Hospital Seberang Jaya.

"Jadi kita beri ruang dan peluang kepadanya bagi berehat dan apabila dia sudah kembali sembuh, kita buat rakaman percakapan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kehilangan Muhammad Azfar Ismail, 29, sejak empat hari lalu selepas mendaki di Bukit Hill Top Batu Kawan.

Bagaimanapun, mangsa ditemukan kira-kira 2 petang semalam, di kawasan paya bakau di jeti berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan dalam keadaan lemah dan keletihan sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut.

Tiada ulasan: