"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin enggan ke balai bagi kenyataan pada polis

Shakira Buang

Meskipun dipanggil polis untuk memberi kenyataan namun Ketua Pembangkang Selangor Mohamed Azmin Ali menegaskan dia enggan hadir ke balai.

Sebaliknya, pemimpin PN itu mencabar tindakan polis memanggilnya untuk memberi keterangan mengenai ucapan yang dibuatnya ketika sidang DUN Selangor pada Mac.

“Setakat ini tidak (akan ke balai polis).

“Sewajarnya arahan tersebut digantung sehingga Mahkamah selesai prosiding. Kita harus menghormati proses perundangan dalam negara kita," katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur hari ini.

Azmin berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita selepas memberitahu dia telah dipanggil polis mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah pada 7 Mei untuk direkodkan kenyataannya di ibu pejabat polis daerah Shah Alam esok.

Azmin mendakwa tindakan pihak berkuasa itu cubaan untuk menakut-nakutkan dirinya dan melanggar undang-undang erutamanya Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan Adun kekebalan daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat di dalam sidang DUN.

“Susulan itu, saya sudah mengarahkan peguam untuk memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk semakan kehakiman bagi menyemak tindakan atau keputusan pihak polis mengeluarkan notis berkenaan.

“Saya juga menghantar surat kepada pihak polis supaya dapat tangguhkan atau gantung tindakan memanggil saya bagi memberi keterangan berkaitan isu itu kerana prosiding Mahkamah masih belum selesai.

“Bagi menghormati proses undang-undang, mereka (polis) sewajarnya menggantung sebarang arahan kerana ia jelas melanggar peruntukan sedia ada,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, Azmin berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklum balas daripada polis berkaitan isu penangguhan itu.

Sebelum ini, Azmin pada sidang DUN Mac lalu dilaporkan meminta kerajaan negeri untuk menjelaskan tindakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjual hak pembangunan PJ Sentral yang dijangka memberi pulangan bernilai RM1.04 bilion kepada Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pada nilai RM270 juta.

Azmin turut memetik laporan The Edge pada 29 Februari lalu bahawa pemaju hartanah Tropicana Corporation Bhd memperoleh sebidang tanah pajakan di Kota Damansara dengan harga RM224 juta.

Bagaimanapun, pengerusi PKNS yang juga Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menepis dakwaan prestasi kewangan PKNS berada dalam keadaan teruk dan menanggung hutang sebanyak RM5.7 bilion.

Jelas Amirudin kedudukan kewangan PKNS ketika ini adalah baik bahkan masih memperoleh keuntungan daripada pendapatan utama operasinya.

Tiada ulasan: