Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memuat naik komen jelik terhadap Nabi Muhammad menerusi akaun Facebooknya, dua tahun lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Yu Hui, 29, selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan dan memerintahkan hukuman enam bulan penjara bagi setiap pertuduhan itu berjalan serentak bermula hari ini.
Lim didakwa secara sedar memuat naik tiga hantaran komen jelik di laman Facebook menerusi akaun ‘Hallowen Day’ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di sebuah bengkel di Jalan Cecily, Sandakan, Sabah, antara 9.24 hingga 9.30 pagi, 18 Sept 2022.
Semua hantaran itu dilihat di sebuah unit residensi di Pantai Sentral di sini pada 10 pagi tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin memohon hukuman setimpal susulan tiga hantaran yang dibuat Lim dilakukan secara sengaja dalam tempoh masa berturut-turut dengan niat untuk menyakiti pembaca.
Bagaimanapun, Lim yang tidak diwakili peguam memohon agar dikenakan hukuman penjara atas alasan tidak mampu untuk membayar denda kerana baru diberhentikan kerja berikutan kes yang dihadapinya.
“Saya menyesal atas perbuatan saya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan