FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wanita dan dua anaknya maut dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Balik Pulau, pagi tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian jam 7 pagi itu dikenali Nurul Bowjiya, 58, dan anak lelakinya Muhamad Ibrahim,33, serta anak perempuannya Rahbiah Jasmin,20, lapor Bernama.
Ketika kejadian wanita terbabit berada di premis itu bersama tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.
Menurut Ketua Polis Barat Daya Kamarul Rizal Jenal, berdasaran temu bual ke atas seorang mangsa yang terselamat iaitu anak lelaki wanita itu yang berusia 30 tahun memaklumkan dia, ibu serta abangnya telah berjaya keluar dari rumah kedai tersebut sebaik menyedari berlaku kebakaran.
“Bagaimanapun emak dan abangnya yang menyedari adik perempuannya masih berada di dalam rumah telah bertindak memasuki semula rumah kedai itu bagi menyelamatkan mangsa, namun ketiga-tiga mereka terperangkap dalam premis tersebut,” katanya.
Kamarul Rizal berkata ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia ditemui bomba selepas api dapat dipadamkan dan dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau Mohd Faris Mansor berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.06 pagi dan terus ke lokasi bersama dua jentera dengan dibantu pasukan dari BBP Balik Pulau.
“Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak dan kerja-kerja pemadaman telah membabitkan tiga jentera tangki air termasuk mengawal api daripada merebak,” katanya di sini.
Beliau berkata kebakaran itu mencetuskan asap tebal kerana ia membabitkan barangan perabot seperti permaidani dan tilam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan