"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS: PN Perlis utuh, cerita ‘retak’ rekaan pihak luar

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Dakwaan hubungan PAS dan Bersatu ‘retak’ selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menteri besar Perlis hanya rekaan pihak luar yang mahu melihat parti gabungan Perikatan Nasional (PN) berpecah.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil, berkata walaupun Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dan anaknya berdepan siasatan hubungan parti itu bersama Bersatu kekal utuh.

“Hubungan PAS dengan Bersatu cukup baik tidak ada masalah termasuk ketegangan dan sebagainya baik sebelum atau selepas (siasatan SPRM).

“Cerita konon ada ‘keretakan’ itu direka pihak luar yang nak kita berpecah, ia tidak datang dari dalam…saya boleh sahkan hubungan kita cukup baik,” kata Adun Kayang kepada FMT.

Exco perumahan, kerajaan tempatan, pembangunan sumber manusia dan pembasmian kemiskinan Perlis bagaimanapun mengakui, dalam bekerjasama mana-mana pihak termasuk PN akan mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, ia proses biasa dalam memajukan pentadbiran negeri dan tidak sehingga membawa kepada ‘keretakan’.

Mengulas siasatan SPRM, Asrul berkata ia sedikit pun tidak menjejaskan peranan dan fokus Shukri sebagai menteri besar serta barisan exco dalam menerajui pentadbiran Perlis.

“Siasatan SPRM tidak mengganggu pentadbiran PN di Perlis dan kita anggap ia proses biasa, pentadbiran berjalan macam biasa,” katanya.

Terdahulu, Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah menafikan dakwaan beliau membuat laporan kepada SPRM sehingga membawa kepada siasatan terhadap Shukri dan anaknya.

Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis berkata, beliau sudah membuat laporan polis untuk menyangkal dakwaan ditularkan di media sosial itu, sambil menegaskan semua lima Adun Bersatu Perlis menyokong kepimpinan Shukri.

Pada 30 April lalu, Shukri yang juga pesuruhjaya PAS Perlis ditahan selama lapan jam oleh SPRM dipercayai berkait tuduhan salah guna kuasa dalam projek pembekalan.

Siasatan itu menyusul selepas laporan SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang pemimpin kanan di utara tanah air, kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggarkan bernilai RM300,000.

Sebelum itu, anak Shukri antara lima individu direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan berjumlah RM600,000. Semuanya sudah dibebaskan dengan jaminan.

Tiada ulasan: