"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Ditahan dalam keadaan mengaibkan, pasangan kekasih didenda RM4,500

Nur Fazlizai Ali

KUALA TERENGGANU: Seorang juruteknik dan pasangannya masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Ahad selepas ditahan dalam keadaan mengaibkan di sebuah hotel, baru-baru ini.

Tertuduh lelaki dan perempuan masing-masing berusia 27 dan 29 tahun, turut berdepan hukuman penjara 10 bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Rosdi Harun selepas kedua-dua tertuduh yang masih bujang itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mengikut pertuduhan, pasangan yang beralamat di Johor itu ditahan di dalam sebuah bilik hotel di Dungun pada 11 Februari lalu jam 1.25 pagi.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2020 iaitu perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, dalam serbuan yang dilakukan pegawai dan anggota penguat kuasa daerah, mereka didapati berada dalam bilik yang pintunya berkunci.

Anggota penguat kuasa kemudian memberi salam sebelum seorang lelaki membuka pintu dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang wanita tidak berpakaian dan hanya meletakkan tuala kecil di kepala berada di belakang pintu bilik air.

Hasil soal siasat mendapati mereka bukan suami isteri yang sah dan kedua-dua mereka ditahan untuk tindakan lanjut

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: