"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Masih ada merokok di restoran, Cuepacs minta kerajaan wujudkan satu jawatan khas ini

AKMAL MANAF

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menubuhkan pasukan khas penguatkuasaan merokok di premis makanan selepas laporan mendedahkan hampir 80 peratus rakyat di negara terdedah kepada asap rokok melalui restoran dan premis makanan.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, bagi memperkasa penguatkuasaan larangan merokok, kerajaan perlu mewujudkan perjawatan khas Pegawai Kesihatan Persekitaran/Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP/PKP) di bawah pasukan itu.

”Pada masa ini seramai 5,000 lebih jawatan PPKP/PKP wujud di Kementerian Kesihatan (KKM).

”Namun jumlah ini tidak mampu untuk menguatkuasakan sepenuhnya kawasan larangan merokok.

”Ini kerana PPKP/PKP turut dibebani dengan tugas-tugas lain seperti kawalan penyakit berjangkit, kawalan vektor, pemantauan kualiti dan keselamatan makanan dan berbagai lagi aktiviti kesihatan awam.

”Jika kerajaan ingin melihat kejayaan penguatkuasaan ini, maka pewujudan jawatan khas dan penambahan jawatan PPKP/PKP amat diperlukan bagi menjayakan aktiviti penguatkuasaan larangan merokok terutama di premis makanan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai Kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023 baru-baru ini yang mendedahkan hampir 80 peratus responden disoal selidik menyatakan telah mendapat pendedahan asap rokok melalui premis makanan dan restoran.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memohon KKM memastikan jawatan kontrak bagi PPKP, PKP diserap ke jawatan tetap agar mereka akan terus berkhidmat.

”Ini terutama bagi memastikan kejayaan di dalam aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit dan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam dapat di pertingkatkan bagi kesejahteraan dan kesihatan rakyat terjamin.

”Kita tidak mahu setiap undang-undang yang dilaksanakan hanya sekadar di atas kertas sahaja kerana langkah menguatkuasakan undang-undang tersebut tidak dapat dilakukan hanya disebabkan kekurangan anggota penguat kuasa.

“Pada akhirnya sudah tentu rakyat tidak mendapat manfaat daripada setiap undang-undang yang dibuat untuk melindungi mereka daripada sesuatu perkara yang membawa kemudaratan,” katanya lagi.

Tiada ulasan: