"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah: Ebit hantar mesej lucah walau pada Ramadan, dakwa saksi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Saksi kesembilan kes seksual melibatkan Ebit Lew mendakwa pendakwah terkenal itu ada menghantar lebih 375 mesej berbentuk lucah walaupun pada Ramadan.

Katanya, kandungan mesej diterima bukan sahaja berunsur lucah malah mengaibkan kehormatannya sebagai wanita.

Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria dalam pemeriksaan utama, meminta saksi menjelaskan apa dimaksudkan dengan memberi ayat lucah.

“Maksud saya dia cuba untuk merangsang saya atas tujuan melayan nafsu seks beliau,” katanya menurut Sinar Harian ketika memberi keterangan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani di Mahkamah Majistret Tenom.

Dalam keterangannya, saksi juga diminta membacakan satu persatu mesej lucah diterima daripada Ebit, selain diminta menjelaskan maksud mesej tersebut.

“Bagi saya, ayat-ayat yang dibagi ini mengaibkan kehormatan perempuan sebab dia cuba merangsang untuk memenuhi nafsu seks dia.

“Semasa dia bagi ayat lucah itu, saya ada pesan beliau ‘janganlah jalan-jalan kalau asyik nak, kalau nak boleh buat dengan isteri’.

“Maksud saya, kalau dia kuat nafsu seks, dia tak perlu jalan-jalan macam selalu dan dia perlu sentiasa dengan isteri supaya dia tidak perlu goda orang lain,” katanya.

Saksi itu menyatakan pandangannya terhadap karakter Ebit yang berbeza seperti dipaparkan dalam media sosial.

“Apa yang saya nampak karakter Ebit di sosial media sangat berbeza dengan teks-teks yang dia bagi pada saya, selalu saya tengok dia ‘post’ terutama tentang isteri dia anggap bidadari seolah-olah dia sangat menghormati seorang perempuan, tapi bila mesej macam tu, seolah-olah dia anggap perempuan ini hanya untuk tujuan seks semata-mata,” katanya.

Menerusi keterangan itu juga, saksi mendakwa bahawa Ebit Lew menghantar mesej kepadanya seolah-olah membayangkan sedang melakukan seks dengannya.

Sepanjang prosiding setakat pagi tadi, saksi memaklumkan menerusi mesej yang dibaca dalam keterangannya terdapat lebih 375 mesej lucah yang diterimanya.

Prosiding yang bermula 9.30 pagi ditangguhkan pada tengah hari dan disambung semula petang.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dikendalikan Zahida dan Analia Kamaruddin sebagai timbalan pendakwa raya dan Ebit diwakili Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Mohd Syarulnizam Salleh Keruak.

Tiada ulasan: