"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kuala Lumpur dinobat bandar kedua terhebat Asia Tenggara

Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menjadi bandar raya kedua terhebat di rantau Asia Tenggara selepas Singapura yang disenaraikan dalam Indeks Bandar Global Oxford Economics 2024.

Senarai terkini itu memperlihatkan ibu negara Malaysia itu berada pada kedudukan 135 daripada 1,000 bandar di dunia yang berada dalam indeks berkenaan.

Singapura pula muncul sebagai bandar raya terhebat di Asia Tenggara apabila berada di tempat ke-42 dalam indeks itu.

Bandar utama lain di Asia Tenggara ialah Bangkok, Thailand yang menduduki tempat ke-192, diikuti Manila, Filipina berada di tempat ke-256 dan Jakarta, Indonesia pada kedudukan ke-284.

Secara keseluruhan, New York, Amerika Syarikat (AS) menduduki tempat pertama Indeks Bandar Global Oxford Economics, diikuti London, United Kingdom (UK) dan San Jose, AS.

Oxford Economics berkata, Indeks Bandar Global itu meliputi 1,000 bandar besar di dunia yang terletak di 163 negara.

Indeks berkenaan mengandungi lima kategori iaitu ekonomi, modal insan, kualiti kehidupan, alam sekitar dan tadbir urus, yang diagregatkan untuk mencipta skor keseluruhan bagi setiap bandar.

Mengikut Indeks Bandar Global Oxford Economics itu, Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-106 dari segi ekonomi yang diukur mengikut saiz ekonomi, struktur, pertumbuhan setiap bandar, meneliti sejarah prestasi dan potensi masa depan.

Dari segi sumber manusia yang mengukur iklim pendidikan dan perniagaan setiap bandar sejajar dengan trend demografi memperlihatkan Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-21.

Indeks Bandar Global Oxford Economics itu menunjukkan Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-391 bagi kualiti kehidupan yang mengambil kira manfaat tinggal di setiap bandar dan kesejahteraan penduduk, meliputi kewangan dan hasil kesihatan serta akses kepada kemudahan.

Dari segi alam sekitar dan tadbir urus, Kuala Lumpur berada pada kedudukan ke-526 dan ke-334 daripada 1,000 bandar di dunia dalam indeks berkenaan.

Selain Kuala Lumpur, bandar raya Georgetown, Pulau Pinang menduduki tempat ke-351 dalam indeks berkenaan, diikuti Melaka di tangga ke-359 dan Johor Bahru di tempat ke-376.

Pengarah Perkhidmatan Bandar Oxford Economics, Mark Britton, berkata bandar raya adalah pusat ketamadunan manusia di mana inovasi, kepelbagaian dan kemajuan bergabung.

Bagaimanapun, katanya dinamik bandar yang kompleks kebiasaannya mengurangkan pemahaman umum terhadap faktor yang menjadikan sesebuah bandar itu berjaya.

"Indeks Bandar Global Oxford Economics menyediakan rangka kerja yang konsisten bagi menilai kekuatan dan kelemahan 1,000 bandar raya terhebat di seluruh dunia. Ditambah dengan unjuran kami, ia membolehkan organisasi dan pembuat dasar untuk melakukan keputusan strategik yang lebih bermaklumat.

"Walaupun skor indeks ini adalah berasaskan prestasi sekarang, terdapat potensi pergerakan yang besar dalam ranking untuk tahun-tahun akan datang, memandangkan 1,000 bandar raya global ini mengharungi pelbagai trend global.

"Ini termasuklah ketidaktentuan ekonomi, ketidakstabilan politik, paras hutang yang tinggi, trend globalisasi, tekanan ke atas kesihatan dan perumahan, serta kesan perubahan iklim. Ini adalah antara trend global yang berpotensi mengubah ranking ini," katanya.

Tiada ulasan: