"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M mungkir janji untuk lantik TPM, dedah Ku Li

Hafizah Iszahanid
hafiza@bh.com.my
Tengku Razaleigh (kiri) mendedahkan ada perjanjian antaranya dan Tun Dr Mahathir untuk menamakan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. - Foto BH
Tengku Razaleigh (kiri) mendedahkan ada perjanjian antaranya dan Tun Dr Mahathir untuk menamakan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. - Foto BH
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan ada perjanjian antaranya dan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menamakan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila bekas Perdana Menteri itu menerajui tampuk pemerintahan negara menggantikan Tun Hussein Onn pada 1981.

Bagaimanapun, Razaleigh berkata, perjanjian itu bubar apabila Dr Mahathir dalam kenyataan media pada ketika itu menyebut, 'beliau menyerahkan kepada UMNO untuk menamakan calon Timbalan Presiden, supaya beliau tidak perlu memilih Timbalan Perdana Menteri'.

Hal mengenai perjanjian antara Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li dan Dr Mahathir itu dikongsi beliau dalam buku 'Ku Li: Memoir 205' yang dilancarkan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga seteru politik beliau satu ketika dulu, Tun Musa Hitam, semalam.

Razaleigh berkata, perjanjian antara beliau dan Dr Mahathir dibuat ketika Hussein sedang bergelut dengan masalah kesihatan.
Tengku Razaleigh menunjukkan bukunya bertajuk Ku Li: Memoir 205 hasil tulisan Datin Zinitulniza Abdul Kadir. - NSTP/Rohanis Shukri
Tengku Razaleigh menunjukkan bukunya bertajuk Ku Li: Memoir 205 hasil tulisan Datin Zinitulniza Abdul Kadir. - NSTP/Rohanis Shukri
Katanya, kesihatan Hussein yang sering uzur ketika itu bukan rahsia dalam kalangan awam. Malah, media melaporkan beliau mendapatkan rawatan pembedahan pintasan jantung selama sebulan di luar negara dan dalam tempoh itu Dr Mahathir memangku tugas sebagai Perdana Menteri.

Sejak itu khabar angin Hussein akan meletak jawatan bertiup kencang meskipun beliau menafikannya. Ketika itu juga nama Dr Mahathir disebut-sebut sebagai pengganti Hussein.

Bagaimanapun, Razaleigh dalam memoir itu menyebut ia masih belum 'selamat' buat Dr Mahathir yang ketika itu sudah menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri selama empat tahun. Ini disebabkan hubungan baik Hussein dengan Razaleigh yang menjadi punca kebimbangan Dr Mahathir.

Sehari selepas pulang ke tanah air, Hussein mengarahkan Razaleigh dan Dr Mahathir ke rumahnya.

"Kami tiba jam 4 petang. Katanya (Hussein) ada berita tidak baik mahu dikongsi... seterusnya dia bertanya kepada saya dan Dr Mahathir, 'You berdua boleh bekerjasama? dan kami menjawab boleh, memang benar waktu itu kami memang tiada masalah".

Hussein kemudian menyambung, "Saya... I nak berhenti and I want you to take over (saya mahu kamu ganti saya), dia berkata begitu sambil menunjuk ke arah saya, "You take over as the Prime Minister."

"Terkejut saya, terus berkata tidak boleh. Tidak boleh kapten, akan kelam kabut parti kalau diubah mengejut begini. Akan effect stock market (menjejaskan pasaran saham) dan lain-lain hal juga."

"Tapi Hussein bertegas, I'm going to announce my resignation and you'll take over (saya akan umum peletakan jawatan dan kamu akan ganti saya) walaupun saya kurang bersetuju.

"Saya sebut, apa caranya sedangkan Dr Mahathir sudah jadi Timbalan Perdana Menteri selama lebih satu penggal.

"Saya sebut lagi: "Ribut nanti dalam UMNO", tapi kata Hussein, You fikir betul-betul, I nak umumkan very soon. Kalau begitu kata Dr Mahathir, kita kena berunding soal parti," katanya.

Kongsi Razaleigh, sambil berjalan keluar menuruni tangga, Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana menjawab begitu kepada Hussein.

Dr Mahathir berkata: "I'm ready to take over (saya sedia untuk ambil alih)", saya menjawab, "memang sepatutnya you take over. You're the deputy (memang sepatutnya kamu yang ambil alih. Kamu timbalan).

"Balas Dr Mahathir, and you'll be my deputy (dan kamu akan jadi timbalan saya). When we face the General Assembly (Perhimpunan Agung UMNO), I will take over from Hussein as President, and you take over as Deputy...begitulah tawaran dia.
Musa (tengah) melancarkan buku Tengku Razaleigh bertajuk Ku Li: Memoir 205 hasil tulisan Zinitulniza. - NSTP/Rohanis Shukri
Musa (tengah) melancarkan buku Tengku Razaleigh bertajuk Ku Li: Memoir 205 hasil tulisan Zinitulniza. - NSTP/Rohanis Shukri
"Saya kata itu terpulang kepada Hussein. Soal jawatan bukan keutamaan saya," kata Razaleigh.

Bagaimanapun, pada masa itu mesyuarat UMNO bahagian di seluruh negara sedang berjalan. Masing-masing ketika itu menamakan calon bagi pemilihan parti yang bakal berlangsung 26 Jun 1981.

Sehingga April, Hussein masih membisu hingga menimbulkan banyak spekulasi. Meskipun terdapat andaian Dr Mahathir akan menggantikan beliau, namun selagi mesyuarat bahagian belum selesai, pencalonan juga belum ditutup, jadi kedudukan Dr Mahathir belum pasti.

Namun, Razaleigh kemudian membuat pengumuman untuk tidak melawan Dr Mahathir.

"Saya tidak akan lawan Dr Mahathir, sekalipun menerima banyak pencalonan. Selagi beliau (Dr Mahathir) duduk di kerusi Timbalan Presiden, selagi itu saya tidak akan mencabar jawatan itu," Razaleigh dipetik dalam memoir itu.

Beberapa hari selepas Razaleigh membuat pengumuman itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Tun Musa Hitam turut menyatakan beliau tidak akan melawan Dr Mahathir.

Hal itu pada pandangan Razaleigh memberi ruang selamat kepada Dr Mahathir.

Pada minggu pertama Mei 1981, media menghebahkan Hussein akan mengumumkan peletakan jawatan pada 15 Mei, ketika hadir merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Johor Bahru.

Malah, pertemuan enam mata antara Hussein, Razaleigh dan Mahathir bertujuan mencapai persetujuan peralihan kuasa turut didedahkan media. Razaleigh mengakui pertemuan itu berlaku.

"Benar. Kami jumpa bertiga - enam mata. Dan disebabkan saya tidak mahu menggantikan Hussein, konsensus akhir ialah jawatan Perdana Menteri diserah kepada Dr Mahathir, dengan janji saya dilantik sebagai timbalan," katanya.

Populariti Musa

Waktu sama populariti Musa mula mempengaruhi keputusan beberapa bahagian UMNO untuk menamakan dia berpasangan dengan Dr Mahathir sebagai Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Pada 12 Mei 1981, Dr Mahathir membuat pengumuman jika Hussein berundur dan beliau dipilih menggantikannya, siapa calon bagi jawatan TPM akan diserahkan kepada ahli UMNO untuk tentukan.

Jadi, perhimpunan 26 Jun 1981 akan menentukan siapa Timbalan Presiden parti dan calon yang menang akan dilantik sebagai TPM. Untuk bertindak adil, Dr Mahathir berkata beliau akan berkecuali dalam perebutan jawatan itu.

Menurut Ku Li, pengumuman itu bermaksud, terlerailah janji antara Dr Mahathir, Hussein dan Razaleigh.

"Dr Mahathir berani umumkan begitu kerana dia sudah 'selamat' selepas saya mengumumkan tidak akan mencabarnya.

"Dia tahu dia akan kalah jika saya pilih melawannya dan daripada pengumuman dibuat, saya faham dia memang tidak mahu menjadikan saya timbalannya, walaupun itulah persetujuan dengan Hussein.

"Saya akur dan tetap mengalu-alukan keputusan itu. Saya tidak mahu ambil berat, malah berpandangan, kalau memang begitulah sikap Dr Mahathir, biarlah dia menanggungnya kemudian," katanya.

Bagaimanapun, apabila Dr Mahathir ditanya media apakah dia boleh menerima sekiranya Razaleigh menang jawatan Timbalan Presiden, beliau menjawab 'saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja'.
Musa (kiri) berucap ketika pelancaran buku Tengku Razaleigh bertajuk Ku Li: Memoir 205 hasil tulisan Zinitulniza. - NSTP/Rohanis Shukri
Musa (kiri) berucap ketika pelancaran buku Tengku Razaleigh bertajuk Ku Li: Memoir 205 hasil tulisan Zinitulniza. - NSTP/Rohanis Shukri
Selepas itu jawatan Perdana Menteri tidak lagi jadi tumpuan, sebaliknya ia beralih kepada jawatan Timbalan Perdana Menteri apabila Musa mengesahkan akan bertanding menentang Razaleigh.

Razaleigh dalam memoir itu menyebut, Dr Mahathir kemudian mengulangi pendirian dengan mengingatkan UMNO tidak akan sesekali-kali mengamalkan 'sistem pengkaderan', iaitu hanya ahli tertentu dipilih berkuasa.

"Sebaik kedudukannya selamat kerana pencalonan ditutup, dia 'pasang' Musa melawan saya. Itu namanya main kayu tiga.

"Musa sendiri datang berjumpa saya dan memberitahu; I'm offering myself as the candidate to oppose you as Deputy President (saya menawarkan diri bertanding menentang kamu bagi jawatan timbalan presiden).

"Walaupun terkejut, saya kata, baguslah. Saya dengan Musa rapat. Hampir setiap hujung minggu kami makan malam di Merlin (hotel), berbual segala macam hal. Kemudian bila ditanya mengapa dia bertindak begitu, katanya Dr Mahathir yang minta dia lawan. Sekali lagi saya kata, baguslah," katanya.

Pada pemilihan 1981, Dr Mahathir menang tanpa tanding sebagai presiden, Musa yang mendapat 722 undi menjadi timbalan dengan mengalahkan Ku Li yang memperoleh 517 undi.

Bagaimanapun, pada penghujung 1980-an konflik dalaman UMNO bertambah serius dan parti itu diharamkan oleh mahkamah pada 4 Februari 1988 selepas berlakunya krisis kepimpinan pada 1987 yang menyaksikan Ku Li yang bertanding jawatan Presiden UMNO menentang Dr Mahathir, kalah tipis.

Susulan persaingan di antara kem Dr Mahathir dengan kumpulan Razaleigh yang ketika itu disokong Musa menyaksikan kewujudan Parti Melayu Semangat 46 yang diketuai Ku Li. Musa tidak menyertainya.

Pada Mei 1996, Semangat 46 dibubarkan, Razaleigh kembali menyertai UMNO Baru.

Tiada ulasan: