Elill Easwaran
KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam berkata Dr Mahathir Mohamad memilih beliau sebagai timbalan dan bukan Tengku Razaleigh Hamzah kerana Musa seorang ahli politik yang ‘kurang cerdik’.
Bercakap di pelancaran buku Ku Li: Memoir 205, Musa menggambarkan Tengku Razaleigh sebagai ‘masalah terbesar’ bagi Mahathir dan ‘ancaman terdekat’ terhadap kedudukan bekas perdana menteri itu.
“Bagi Mahathir, antara saya dan Tengku Razaleigh…saya pilihan lebih baik kerana saya kurang cerdik dan tak banyak duit,” kata Musa.
“Pada pendapat saya, jika sejarah berbeza, saya yakin Tengku Razaleigh akan jadi perdana menteri.”
Tengku Razaleigh pernah menjadi menteri kewangan dari 1976 hingga 1984 dan memimpin Kementerian Perdagangan dan Industri dari 1984 hingga 1987. Ketika Mahathir menjadi perdana menteri antara tempoh 1981 hingga 2003, Musa merupakan timbalannya dari 1981 hingga 1986.
Hubungan antara Tengku Razaleigh dan Mahathir tidak baik sekitar 1980-an, dan kemuncaknya beliau mencabar Mahathir bagi merebut jawatan presiden Umno pada 1987. Ini membawa kepada perpecahan dalam parti itu.
Pada 1989, Tengku Razaleigh mengasaskan Semangat 46, yang dibubarkan pada 1996 dan beliau kembali ke pangkuan Umno.
Tengku Razaleigh merupakan Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat sehinggalah beliau tewas di Parlimen Gua Musang pada PRU 2022 dengan majoriti tipis 163 undi di tangan calon Perikatan Nasional.
Ditanya kenapa beliau tidak bersaing dengan Mahathir untuk jawatan presiden Umno, Musa berkata: “Saya realistik. Saya tidak ada wang untuk bersaing dengan beliau.”
“Isu wang dalam politik adalah cabaran terbesar bagi mana-mana ahli politik.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan