BERNAMA
Singapura: Seorang maut dan beberapa penumpang cedera selepas penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) dari London ke Singapura menghadapi gelora udara (turbulence) teruk ketika penerbangan, menurut syarikat penerbangan itu.
SIA berkata pesawat Boeing 777-300ER yang membawa sejumlah 211 penumpang dan 18 anak kapal telah dilencongkan ke Bangkok dan mendarat pada 3.45 petang waktu tempatan pada Selasa.
"Singapore Airlines merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia. Kami akan memberikan kemas kini berkala di akaun Facebook dan X kami," katanya di Facebook.
SIA berkata keutamaan mereka adalah untuk memberikan segala bantuan yang boleh kepada semua penumpang dan anak kapal di atas pesawat itu.
Syarikat penerbangan itu berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Thailand untuk menyediakan bantuan perubatan yang diperlukan dan menghantar pasukan ke Bangkok untuk memberikan sebarang pertolongan tambahan yang diperlukan.
"Saya amat bersedih mendengar tentang insiden di atas penerbangan Singapore Airlines SQ321 dari London Heathrow ke Singapura," kata Menteri Pengangkutan, Chee Hong Tat di laman Facebook beliau.
Chee berkata Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Singapura, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dan pegawai-pegawai Lapangan Terbang Changi serta petugas SIA sedang memberikan sokongan kepada penumpang yang terjejas dan keluarga mereka.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, Singapore Airlines dalam satu kemas kini pada laman Facebooknya berkata pada pukul 7.50 malam waktu Singapura, 18 penumpang telah dimasukkan ke hospital sementara 12 lagi menerima rawatan di hospital.
"Baki penumpang dan kru sedang diperiksa dan diberi rawatan yang perlu di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok," katanya dalam hantaran di Facebook.
Singapore Airlines juga telah membuka talian penting bagi waris penumpang untuk mendapatkan maklumat di talian +65 6542 3311.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan