"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ireland, Norway dan Sepanyol mengiktiraf Palestin Israel berang

AFP

Baitulmaqdis: Israel berang selepas tiga negara Eropah mengiktiraf kenegaraan Palestin pada Rabu.

Ireland, Norway dan Sepanyol mengiktiraf Palestin sebagai negara secara rasmi pada 28 Mei hingga mendapat pujian daripada banyak negara Arab serta Islam.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tindakan itu adalah 'ganjaran' untuk keganasan selepas pejuang Hamas melancarkan serangan 7 Oktober yang mencetuskan perang Gaza.

Israel berkata, ia memanggil semula wakilnya di Dublin, Oslo dan Madrid untuk perundingan segera dan juga memanggil untuk menyatakan teguran kepada tiga duta negara Eropah itu.

Tindakan Netanyahu dikecam antarabangsa
September 12, 2019 @ 7:39am
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah Josep Borrell menerusi ciapan di X memaklumkan beliau akan bekerjasama dengan 27 anggota blok itu untuk mempromosikan kedudukan bersama Kesatuan Eropah (EU) dalam isu itu berdasarkan penyelesaian dua negara.

Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben Gvir, dalam lawatan pertamanya sejak 7 Oktober ke tapak keagamaan yang dipertikaikan di Temple Mount di Kota Lama Baitulmaqdis Timur berkata, pengiktirafan itu memberi keistimewaan kepada pembunuh dan penceroboh.

Lawatan beliau ke tapak yang dikenali sebagai perkarangan masjid Al-Aqsa disebut oleh Hamas sebagai salah satu sebab bagi serangan Oktober kumpulan itu ke atas Israel, yang dipanggil 'Banjir Al-Aqsa'

Rumah Putih berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menentang pengiktirafan unilateral negara Palestin, dengan mengatakan ia harus direalisasikan melalui rundingan terus.

Penasihat Keselamatan Negara kepada Biden, Jake Sullivan memberi amaran kepada Israel supaya tidak menyekat pembiayaan untuk Pihak Berkuasa Palestin sebagai tindakan balas.

Kebanyakan kerajaan Barat, termasuk AS sanggup mengiktiraf kenegaraan Palestin suatu hari nanti tetapi tidak sebelum isu seperti sempadan akhir dan status Baitulmaqdis diselesaikan.

Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store berkata, pengiktirafan Palestin adalah satu cara untuk menyokong pasukan sederhana yang kehilangan tempat dalam konflik berlarutan dan kejam.

"Di tengah-tengah perang, dengan puluhan ribu terbunuh dan cedera, kita mesti mengekalkan satu-satunya alternatif yang menawarkan penyelesaian politik untuk Israel dan Palestin, dua negara, hidup berdampingan, dalam keamanan dan keselamatan," katanya.

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkat, Netanyahu menyebabkan begitu banyak kesakitan, kemusnahan dan kebencian di Gaza dan seluruh Palestin sehingga penyelesaian dua negara berada dalam bahaya

Perdana Menteri Ireland Simon Harris pula menggelar serangan 7 Oktober itu sebagai kejam tetapi menekankan bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya jalan keluar daripada kitaran generasi keganasan, pembalasan dan kebencian.

Tiada ulasan: