"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan cederakan ibu sedang solat guna sepana, pisau

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan kerana mencederakan ibunya yang sedang menunaikan solat menggunakan senjata tajam di rumah mereka di Kampung Bongor, Gerik semalam.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata suspek 29 tahun dikatakan memukul mangsa berusia 54 tahun bertubi-tubi di bahagian muka dan sebelah kiri atas badan menggunakan sepana pembuka plug serta sebilah pisau pemotong getah.

Katanya suspek dikatakan berhalusinasi dan pernah dirujuk ke Hospital Taiping, tetapi dibebaskan kerana tiada sebarang masalah mental ketika itu.

“Suspek memukul ibunya yang ketika itu sedang mendirikan solat, menyebabkan wanita itu menjerit meminta tolong. Adik suspek yang berada dalam bilik air terdengar dan keluar melihat suspek sedang memukul ibu mereka bertubi-tubi.

“Adik suspek (berusia 15 tahun) juga dipukul apabila cuba menolong ibu mereka. Suspek kemudian memukul mangsa menggunakan sepana dan sebilah pisau pemotong getah,” katanya menurut harian Metro.

Beliau berkata kedua-dua mangsa ke Balai Polis Bersia di Gerik pada 7.50 pagi semalam untuk membuat laporan dalam keadaan berdarah.

Menurutnya dua mangsa itu dimasukkan ke Hospital Gerik dan pemeriksaan doktor mendapati kesan lebam serta luka hirisan di beberapa bahagian badan mangsa.

Yusri berkata suspek yang tidak bekerja mempunyai rekod kesalahan kes jenayah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada 2011 dan pernah ditangkap.

Katanya suspek sudah ditahan dan dirujuk ke Mahkamah Taiping hari ini bagi permohonan reman untuk disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: