"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Budak ‘intern’ sepak senior miang

KOSMO
Baitong berkongsikan rakaman CCTV di laman Facebook pada 14 Jun lepas. - C/@RedSkullxx
BANGKOK  –  Seorang kakitangan pelatih (intern) sebuah hospital di wilayah Nonthaburi membelasah pekerja senior menggunakan seni mempertahankan diri, Muay Thai semasa lelaki tersebut cuba mencabulnya, lapor laman berita Thaiger semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Baitong, berkongsi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian pada tahun lalu itu di laman Facebook, 14 Jun lepas.

Kata Baitong, dia bertindak demikian sebagai amaran kepada lelaki tersebut selepas mendapat tahu suspek melakukan  perkara serupa kepada mangsa lain.

Ketika kejadian, dia memesan makanan dari gerai berhampiran hospital pada waktu tengah malam.

Disebabkan sibuk dan tidak dapat mengambil makanan yang tiba, suspek menawarkan bantuan untuk membawa makanan itu.

Ketika mahu mendapatkan makanan daripada suspek, lelaki itu memeluk Baitong dari belakang.

Gadis itu memusingkan  badannya ke arah suspek lalu menendang lelaki tersebut beberapa kali sehingga pelukannya dilepaskan.

Menurut Baitong, dia belajar Muay Thai daripada datuknya yang bekerja dalam industri tersebut.

Susulan kejadian itu, Baitong menamatkan latihan praktikal di hospital berkenaan selepas membuat laporan kepada pihak atasan dan polis.

Suspek dikenakan tindakan disiplin oleh hospital sebelum diberhentikan kerja  kerana melakukan perkara serupa kepada pelatih lain. – AGENSI 

Tiada ulasan: