"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM: 'Kalau naikkan harga walau dapat subsidi, kamu jaga...'

Mohd Iskandar Ibrahim
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana pihak sengaja menaikkan harga barangan atau perkhidmatan biarpun mendapat subsidi diesel, akan dikenakan tindakan tegas termasuk membatalkan lesen mereka.

Beliau berkata, tindakan terbabit harus diambil kerana penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Sebenarnya ingat kita dalam Jemaah Menteri senang nak lakukan, tak ada hati perut, tak peduli orang susah, naikkan harga... tidak.

"Saya sendiri berpuluh kali bermesyuarat supaya jangan terbeban, maka nelayan dikecualikan, maka subsidi diteruskan untuk nelayan, pekebun kecil, bas sekolah.

"Bas sekolah naik (harga perkhidmatan), tapi kita bagi amaran, kamu diberi subsidi dan kamu naik, kamu jaga, saya tak tahu orang lain, kalau saya, jika kamu naik juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu, batalkan syarikat (kamu)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula pada jam 12 tengah malam pada Isnin lalu di stesen minyak seluruh Semenanjung, sementara harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel perlu dilaksanakan kerana ketirisan yang berlaku khususnya membabitkan kapal nelayan asing yang menggunakan bahan bakar milik negara.

"Jumlah kenderaan mungkin (bertambah) naik sekitar lapan peratus tapi penggunaan diesel naik 20 ke 30 peratus, maknanya yang lain itu bocor. Tiris siapa bayar? Negara bayar... wang itu sepatutnya di pendidikan, kesihatan, untuk orang miskin tapi hilang kepada penyakau ini.

"Sebab itu kita kena buat penyasaran. (Sebelum ini) siapa yang dapat untung? 3.5 juta orang asing, tak bayar cukai tapi dia dapat kemudahan ini kerana harga disubsidi oleh pemerintah," katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menegaskan penjimatan daripada pelaksanaan penyasaran subsidi itu akan dipulangkan terus kepada rakyat secara adil.

"Kita tidak dera rakyat miskin, setiap sen tambahan, kita pulangkan balik," katanya.

Tiada ulasan: