Najihah Borhan
bhnews@bh.com.my
Ia berlaku ketika LRT laluan Sri Petaling itu melewati bangunan terbakar berhampiran Stesen Pudu, dengan klip video dikongsi netizen menunjukkan secara jelas api yang sedang marak. - Foto Bomba/tular
KUALA LUMPUR: Penumpang transit aliran ringan (LRT) menggambarkan situasi menakutkan apabila tren dinaiki mereka tiba-tiba terasa panas membahang, dengan api kelihatan marak di luar tingkap.
Ia berlaku ketika LRT laluan Sri Petaling itu melewati bangunan terbakar berhampiran Stesen Pudu, dengan klip video dikongsi netizen menunjukkan secara jelas api yang sedang marak.
Berdasarkan video singkat yang tular dikongsi akaun XioHongShu itu, jelas sekali penumpang LRT terbabit cemas dan bimbang ketika ia melepasi bangunan yang terbakar itu.
Melalui kapsyen tertera, pemilik video memaklumkan mereka dalam perjalanan pulang dari Pudu menuju Chan Sow Lin pada jam 8:13 malam tadi apabila tiba-tiba melihat api marak di luar tren.
"Ketika saya berdiri dan memegang susur tangan, tiba-tiba saya ternampak sinaran merah dari arah bertentangan. Saya hanya dapat melihat api semakin menghampiri kami.
"Selepas beberapa saat, bahang panas menyusul. Seluruh tren tiba-tiba menjadi sangat panas hanya dalam beberapa saat," katanya.
Netizen lain pula mengakui sangat terkejut dengan kejadian itu hinggakan hanya sempat mengeluarkan telefon dan merakam tiga saat terakhir kejadian itu.
"Pada masa saya sedar dan mengambil telefon saya untuk merakam video, ia sudah separuh jalan. Tetapi kedudukan api dan LRT sangat dekat, dan ia menakutkan," katanya.
Melalui salah satu komen pula, netizen berkata kebakaran berlaku berhampiran Stesen Pudu membabitkan tujuh rumah dengan enam daripadanya musnah 100 peratus.
"Kedai berdekatan juga terkesan. Tiga kereta dan tiga motosikal juga terkesan. Tiga destinasi tren dilencongkan dan ada yang perlu dibuat pertukaran ke laluan alternatif," katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan tujuh rumah setinggan di Jalan Pudu terbakar dalam kejadian itu dengan enam daripadanya musnah 100 seratus peratus.
Kebakaran turut memusnahkan tiga kereta dan tiga motosikal selain memusnahkan tingkat atas sebuah rumah kedai dua tingkat yang terletak berhampiran.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran itu jam 8.04 malam, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, Jalan Tun Razak, Cheras, Jalan Hang Tuah dan Pasukan Bomba Sukarela Desa Petaling digerakkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.
Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran, berkata kebakaran juga membabitkan rumah kedai dua tingkat dengan kemusnahan 100 peratus di bahagian tingkat atas.
"Terdapat juga tiga kereta dan tiga motosikal terbabit dalam kebakaran musnah seratus peratus," katanya dalam kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan