FMT Reporters
Keadaan lori dipandu mangsa terjunam ke dalam lubang jalan mendap di Jalan Kuantan-Segamat. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaannya terbabas sebelum terjunam ke dalam lubang jalan mendap di Kilometer 73, Jalan Kuantan-Segamat, malam tadi.
Mangsa, Muhammad Farhan Dagang, 29, dari Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi, dalam kejadian kira-kira 8.55 malam itu.
Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin berkata kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai memandu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Pekan.
Katanya, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan terlanggar penghadang jalan plastik sebelum terjunam masuk ke dalam lubang jalan mendap terbabit.
“Siasatan awal mendapati mangsa terbabas sendiri dipercayai akibat tidak menyedari amaran kawasan lencongan jambatan sementara di lokasi itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya menurut Sinar Harian.
Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan