"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki tak sempat pulang beraya di Kelantan, maut dirempuh lori ketika rehat tepi jalan

Amir Hamzah Nordin
bhnews@bh.com.my
Keadaan lori yang terbalik selepas merempuh penunggang motosikal di Kilometer 25 Jalan Lipis-Benta di Lipis, pagi tadi. - Foto IPD LIPIS
Keadaan lori yang terbalik selepas merempuh penunggang motosikal di Kilometer 25 Jalan Lipis-Benta di Lipis, pagi tadi. - Foto IPD LIPIS
LIPIS: Hasrat seorang lelaki untuk menyambut Aidiladha di kampung halamannya tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh sebuah lori ketika sedang berehat di tepi jalan di Kilometer 25 Jalan Lipis-Benta menghala Kuala Lipis, di sini pagi tadi.

Mohamad Suhamel Ismail, 24, dilaporkan menunggang motosikal berseorangan dari rumahnya di Kepong, Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah keluarga di Kampung Bertam, Gua Musang, Kelantan, ketika kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu.

Ketua Polis Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata pemandu lori berusia 29 tahun dari Klang, Selangor pula dalam perjalanan menghantar tilam ke Tanah Merah, Kelantan.

"Tiba di Bulatan Benta, pemandu lori cuba mengelak kereta yang terhenti di tengah jalan akibat kemalangan awal. Lori itu bagaimanapun terbabas ke bahu jalan dan merempuh mangsa yang dikatakan sedang berhenti rehat.

"Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lori terbalik di tepi jalan," katanya hari ini dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sambil meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata lapan anggota dari Balai Bomba Kuala Lipis dihantar ke lokasi untuk mengeluarkan mayat mangsa yang terperosok di bawah lori.

"Dua kren digunakan untuk mengangkat lori sebelum bomba dapat mengeluarkan mayat mangsa dari bawah kenderaan itu," katanya.

Tiada ulasan: