"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN keberatan terima MoU masih harap dapat tumbangkan kerajaan

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang penganalisis mendakwa Perikatan Nasional (PN) mungkin keberatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang kerana masih menaruh harapan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata PN tidak lagi boleh membangkitkan soal keabsahan dan majoriti dinikmati Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika tunduk kepada syarat ditawarkan kerajaan kepada mereka.

“Bila menyatakan sokongan, mereka tidak lagi boleh menimbulkan isu seperti keabsahan, tiada majoriti, sama ada di luar Parlimen atau perbahasan.

Itu yang menjadi beratnya kerana pembangkang ketika ini saya melihat usaha utama mereka adalah untuk menjatuhkan kerajaan, katanya kepada FMT, mengulas laporan PN dikatakan menolak draf MoU peruntukan pembangkang.

Menggantikan kerajaan supaya mereka dapat menjadi kerajaan. Jadi, untuk PN menunggu tiga setengah tahun itu terlampau lama bagi mereka dan mereka sanggup untuk tidak dapat peruntukan.

Kelmarin, FMT memetik sumber melaporkan Ahli Parlimen pembangkang dikatakan sebulat suara menolak dokumen disediakan kerajaan kerana tidak berpuas hati atas ‘kecacatan’ kandungan dan beberapa syarat perlu dipatuhinya.

Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, mengesahkan ada perbincangan wakil rakyat PN Isnin lalu, namun enggan mendedahkan keputusan komponen itu sebelum pengumuman rasmi pimpinan.

Sumber itu mendakwa, pembangkang tidak berpuas hati dengan beberapa obligasi atau syarat perlu dipatuhinya terutama menjurus kepada agenda kesamarataan untuk semua kaum dan individu.

Dakwanya, satu daripada 13 syarat meminta PN mengisytiharkan prinsip semua rakyat mempunyai hak asasi dan kebebasan tanpa perbezaan bangsa, etnik atau agama mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain hak perlindungan saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan.

Turut dipersoal ketiadaan penetapan jumlah peruntukan selain syarat yang didakwa mengehadkan ‘suara’ pembangkang membangkitkan sesuatu isu.

Tak jejas Anwar

Pada 18 April lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbangkan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang disusuli penyerahan draf kepada PN, bulan lalu.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata keengganan pembangkang menandatangani MoU dijangka tidak menjejaskan keutuhan pentadbiran Anwar, yang ketika ini memiliki 154 sokongan Ahli Parlimen.

Namun, beliau tidak menolak pembangkang akan lebih agresif memainkan peranannya untuk terus menyerang kerajaan tanpa sebarang ‘ikatan’.

PN dijangka terus melawan kerajaan, seperti tugasnya sebagai pembangkang, katanya.

Beliau juga berpandangan kerajaan wajar menyatakan secara jelas jumlah peruntukan bagi setiap Ahli Parlimen pembangkang jika benar-benar ikhlas dalam berunding.

Sepatutnya Putrajaya nyatakan jumlah peruntukan itu, katanya sambil menambah dokumen disediakan kerajaan sangat jelas namun klausa ‘sama rata’ yang ditetapkan sudah dijangka ditolak PN.

Tiada ulasan: