KOSMO!
Ribuan orang menyerbu rumah pasangan Ubaidillah dan Fitri Handayani. - Detik Jateng
JAKARTA – Pasangan usahawan batik di Pekalongan, wilayah Jawa Barat melempar wang tunai dan memberikan pelbagai hadiah bernilai hampir 35 juta rupiah (RM9,863) kepada orang ramai sempena meraikan kelahiran anak mereka, lapor laman berita Detik semalam.
Ubaidillah dan Fitri Handayani, membuat sumbangan itu dalam acara digelar dundunan iaitu tradisi ketika bayi berusia tujuh bulan.
Orang ramai yang mendapat tahu mengenai acara itu berpusu-pusu berkumpul di hadapan rumah Ubaidillah dan Fitri, menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal.
Selain wang, antara barangan lain yang turut dihadiahkan kepada pemenang bertuah adalah kipas angin, televisyen dan peti ais.
Ketika wang dilempar, orang ramai berebut-rebut dan saling menolak, sehinggakan ada antara mereka yang pengsan, cedera serta kehilangan barang peribadi.
Polis kemudian terpaksa campur tangan bagi mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Disebabkan orang terlalu ramai dan keadaan tidak terkawal, tidak semua wang dan hadiah cabutan bertuah sempat diberikan,” kata Ketua Polis Pekalongan Selatan, Asisten Komisioner Aries Tri Hartanto.
“Ada beberapa orang pengsan kerana saling bersesak, cedera dan kehilangan telefon bimbit sehingga polis terpaksa mengarahkan mereka pulang ke rumah masing-masing,” tambahnya.
Sementara itu, pasangan suami isteri itu berkata, mereka tidak menyangka ribuan orang akan hadir dalam acara tersebut. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan