Mohsin Abdullah
Tiada salahnya Hawa memiliki beg LV.
Apa salahnya pemimpin PAS memiliki bag tangan jenama mewah? Louis Vuitton. LV panggilan mesra peminat jenama mewah. Bagi saya tak salah. Apa lagi kalau dibeli dengan duit sendiri, atau dihadiahkan suami, anak atau peminat dan penyokong.
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Melaka Hawa Yaakub ada beg LV. Apa yang paling penting adalah orang yang belinya tak guna duit pembayar cukai, kata beliau dalam ciapan di X. Hawa tidak pula mendedahkan siapa si pembeli yang beliau katakan itu. Adakah beliau sendiri atau orang lain?
Hawa turut membayangkan beg tangan itu lebih murah berbanding helikopter dan kereta Bentley. Menurut Malaysiakini, beliau merujuk pemimpin BN menaiki helikopter ke Nenggiri ketika kempen PRK baru-baru ini dan Anwar Ibrahim menaiki kereta Bentley yang disediakan kerajaan Sarawak semasa perdana menteri berkunjung ke Bumi Kenyalang.
Jelas Hawa berang. Dicetus selepas laman parodi Harakatdaily memuat naik gambarnya memperaga beg tangan LV dan berkata beliau sanggup menjual beg itu demi membantu rakyat yang kesusahan.
Difahamkan Hawa terdahulu mendakwa ada rakyat mati kelaparan ekoran kurangnya bekalan beras tempatan yang terjadi di bawah kerajaan Madani. Lalu Harakatdaily mencipta parodi yang disebut tadi.
Dalam kemarahan Hawa juga bertanya sampai bila penyokong kerajaan ingin menjawab semua isu yang dibangkitkan dengan merujuk beg tangannya. Kenaikan harga diesel – LV , rakyat mati kelaparan – LV , kekurangan beras tempatan – LV, Blackrock – LV, afterparty – LV, bir Tiger – LV, kata beliau menerusi X.
Tolong cari idea lain. Sekurang-kurangnya biarlah elaun anda berbaloi, katanya. Bagi saya pemimpin PAS itu melihat Harakatdaily penyokong kerajaan. Malah kata beliau laman parodi itu sendiri menggunakan populariti PAS merujuk lidah rasmi parti Harakahdaily.
Seperti saya kata tadi tiada salahnya Hawa memiliki beg LV. Jadi itu bukan isunya. Begitu juga helikopter, Bentley, Harakatdaily serta segala macam yang disebutnya. Semua itu bukan isunya.
Yang menjadi isu pada hemat saya ialah dakwaan ada rakyat mati kelaparan (istilah lazim kebuluran) kerana dikatakan tidak ada bekalan beras tempatan sewaktu negara ini diperintah kerajaan Madani. Adakah dakwaan itu benar? Ini isu penting.
Agak ironis dakwaan rakyat mati kelaparan dilemparkan ketika Anwar menjadi PM. Semasa menjadi ketua pelajar tahun 1970-an Anwar menggerak kebangkitan mahasiswa memperjuangkan kesusahan yang dialami rakyat khususnya petani dan pekebun getah di Baling.
Ribuan rakyat berhimpun dalam apa yang dipanggil Demonstrasi Baling 1974, menyuarakan keperitan yang dirasai akibat penurunan harga getah.
Di Kuala Lumpur ribuan mahasiswa turun ke jalanan diketuai Anwar dibantu barisan pemimpin pelajar pusat pengajian tinggi lain mengadakan demonstrasi besar-besaran in solidarity dengan rakyat Baling.
Antara dorongan kuat mereka berdemonstrasi ialah berita yang mendakwa ada rakyat Kedah yang mengalami kebuluran. Kerajaan ketika itu menafikan namun berita yang tersebar dan dipercayai ramai ialah mereka kelaparan sehinga terpaksa makan sejenis ubi kayu yang mereka tidak sedar mengandungi racun. Maka berlaku kematian menurut berita yang tersebar.
Oleh itu berdasarkan berita itu kematian berlaku kerana keracunan, bukan kebuluran secara langsung. Tetapi memakan ubi beracun dikaitkan dengan kelaparan. Sesungguhnya untuk seseorang mati kebuluran satu jangka waktu agak lama diambil sebelum kematian. Dalam lain perkataan orang tidak mati serta-merta dalam kes kebuluran. Tidak seperti memakan racun.
Berbalik dakwaan Hawa. Menurut Malaysiakini, beliau dipercayai mengulas kes kematian seorang warga emas dan anaknya yang OKU di Sungai Abong, Johor. Seorang lagi anak juga OKU didapati dalam keadaan lemah. Menurut laporan keluarga itu tidak mempunyai pendapatan tetap namun menerima bantuan NGO tempatan.
Persoalannya benarkah kematian disebabkan tidak ada makanan sehingga kelaparan? Berapa lama mereka terputus bekalan makanan atau seperti kata Hawa, beras? Apa lagi kerana NGO dikatakan sering datang membantu. Ini Hawa mesti cari jawapan dan bukti menyokong dakwaannya yang amat serius. Kebuluran menyebabkan kematian jarang atau tidak pernah didengari berlaku di negara ini terutama pada era ini. Tidak seperti di beberapa negara benua Afrika umpamanya.
Saya ulangi itu isunya — betul atau tidak kelaparan menyebabkan kematian? Laporan Sinar Harian 25 Ogos lalu memetik Ketua Polis Muar Raiz Mukhriz Azman Aziz berkata bedah siasat sudah selesai dan penemuan mayat lelaki berusia 76 tahun dan 37 tahun itu diklasifikasikan mati mengejut.
Kata beliau, anak yang ditemui dalam keadaan lesu ialah wanita OKU berusia 44 tahun, kini dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil.
Kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di media sosial: Membuat tuduhan rakyat sedang mati kebuluran sebab tiada beras ni, sama ada melampau atau kurang cerdik.
Itu tak penting. Yang penting Rafizi mahu Hawa menyerahkan senarai rakyat yang memerlukan bantuan segera. Beliau sedia meneliti senarai tersebut dan kata beliau Hawa boleh menghantarnya melalui e-mel yang tersedia pada laman sesawang Kementerian Ekonomi.
Eloklah Hawa menyambut pelawaan itu di samping mencari bukti punca kematian yang beliau ketengahkan. Itu yang penting kerana tidak siapa peduli beg LVnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan