"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Saya menyesal dengan perbuatan itu' - penganggur bunuh 3 sekeluarga

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
AZMAN dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas dipenjara sembilan tahun dan denda kerana mencederakan anak saudaranya. FOTO: Alias Abd Rani
Muar: "Saya menyesal atas apa yang dilakukan," demikian kata penganggur, Azman Mohamed Nor, 48, yang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana mendatangkan kecederaan parah terhadap anak saudaranya dalam tragedi bakar dan bunuh tiga sekeluarga di Kampung Paya Redan, Pagoh, bulan lalu.

Tertuduh yang kelihatan sugul mengangguk faham dan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin sebelum dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan denda RM5,000.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Nariman turut bertanyakan tertuduh sama ada dia memahami atau tidak hukuman bagi kesalahan dilakukannya itu.

"Kamu fahamkan hukuman kesalahan ini? Selain penjara, kamu mahu denda atau sebatan," soalnya sebelum tertuduh memilih penjara dan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap Norazmina Mohd Razi, 14, dengan menggunakan sebatang kayu dengan kejadian itu berlaku antara jam 1 hingga 3 pagi, di sebuah rumah, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, 9 Ogos lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebatan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang tidur dikejutkan adiknya, Noradriana Nor Hasyim, 11, memberitahu berlaku kebakaran menyebabkan mereka berdua keluar mencari tertuduh.

Sewaktu di belakang rumah, dua beradik itu terserempak tertuduh yang ketika itu sedang memegang sebatang kayu. Tertuduh kemudian memukul kepala adik tiri mangsa, Noradriana hingga rebah dan meninggal dunia.

Selepas itu, tertuduh memukul kepala mangsa, namun sempat ditepis menggunakan tangan. Tertuduh pada mulanya menyangka mangsa pengsan akibat pukulan itu sebelum melarikan diri dan mangsa berlari ke rumah jiran untuk meminta bantuan.

Bertindak atas maklumat, tertuduh ditahan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selepas lima hari melarikan diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 20 Ogos lalu, Azman didakwa di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan membunuh bapanya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, ibunya, Ara Abd Hamid, 76, serta anak saudara Noradriana.

Ketiga-tiga kejadian itu berlaku antara jam 1 hingga 3 pagi, di sebuah rumah, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, 9 Ogos lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.

Kejadian tragis itu menyaksikan dua mangsa Mohamed Nor dan Ara ditemui rentung manakala Noradriana meninggal ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) akibat parah.

Selepas kejadian itu, tertuduh melarikan diri sebelum ditahan ketika merayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Tiada ulasan: