"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga cedera dicakar, digigit memerang di Kota Kinabalu

Malaysiakini
story-image

Dua wanita masing-masing berusia 40 dan 54 tahun serta seorang lelaki berumur 56 tahun mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan memerang semasa melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru Perdana Park di Kota Kinabalu semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata polis menerima maklumat dalam kejadian 6.40 pagi semalam individu terbabit yang sedang berjoging telah diserang secara tiba-tiba oleh sekumpulan memerang dari arah belakang.

"Ekoran dari serangan tersebut, ketiga-tiga mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian kaki, tangan dan kepala akibat gigitan dan cakaran.

"Bagaimanapun, polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan kes tersebut," katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu malam tadi.

Sementara itu, Datuk Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan notis pemakluman kepada pengusaha taman rekreasi tersebut agar menutup operasi serta-merta susulan insiden tersebut.

Beliau berkata langkah penutupan ini diambil bagi menjamin keselamatan pengunjung dan memberi laluan kepada pihak DBKK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan lanjut.

"DBKK memandang serius insiden ini dan bertindak segera mengarahkan penutupan taman itu bagi mengelakkan sebarang insiden lain tidak diingini.

"Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan penutupan ini bagi memastikan keselamatan bersama," katanya menerusi kenyataan berasingan.

- Bernama

Tiada ulasan: