"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes GISBH: Dr Maza dakwa Jakim lambat bertindak

Malaysiakini 

Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) lambat bertindak terhadap isu penyelewengan akidah membabitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Mohd Asri mendakwa isu berkaitan GISBH telah dibentangkan kepada Jakim sebelum ini, namun mereka tidak melakukan tindakan.

"Mereka tidak mengangkat kes ini mungkin di atas sebab-sebab tertentu...sebahagiannya enggan mengambil risiko, sebahagian juga mungkin melihat tidak begitu besar.

"Mungkin sebahagian kepercayaan kumpulan (GISBH) ini ada pada individu terbabit dan mungkin juga atas sebab musabab yang lain," katanya dalam satu video yang dimuat naik di TikTok ProMedia Tajdid.

Video terbabit merupakan siri kuliah mingguan Mufti Perlis itu yang diadakan di Masjid Alwi, Kangar.

Justeru kata Mohd Asri, disebabkan tiada tindakan daripada Jakim, kumpulan yang membuat kajian itu membentangkannya kepada Jawatankuasa Fatwa Perlis.

Pada 11 Sept lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mengesahkan polis sudah memulakan siasatan terhadap GISBH.

Razarudin berkata serbuan melalui Op Global itu dibuat di premis GISB sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan terbaru, Razarudin hari ini berkata seramai 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat GISBH dipercayai menjadi mangsa liwat selepas 172 daripada 392 mangsa eksploitasi berkenaan melalui saringan kesihatan.

Ini katanya berdasarkan laporan polis dan soal siasat yang dijalankan pihaknya menerusi Op Global, bermula 2 September lalu.

‘Kecam Jakim hanya akan timbulkan fitnah’

Dalam pada itu Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mengecam pihak yang menjadikan Jakim sebagai sasaran dalam isu GISBH.

Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin merujuk kenyataan yang dikeluarkan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abu Hafiz Salehuddin yang disifatkanya sebagai kritikan sembrono.

Sebaliknya kata Zamihan, semua pihak perlu bertenang dan menyerahkan kepada sisasatan polis serta jabatan agama Islam negeri masing-masing.

"Oleh itu, tindakan mengecam Jakim bukanlah sesuatu yang sihat bahkan ia boleh menimbulkan fitnah dan mencetuskan ketidaktenteraman dalam kalangan umat Islam di Malaysia. Maka sewajarnya Abu Hafiz diperadabkan oleh UIAM selaku majikan beliau.

"Kesimpulannya, umat Islam di Malaysia perlu bertenang dengan isu ini. Serahkan kepada pihak berkuasa agama dan PDRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Pihak GISBH juga perlu diberi ruang untuk membela diri dari tuduhan yang dilontarkan.

"Jalan keluar untuk merungkai kemelut ini pasti ada sinarnya melalui perundangan sedia ada. Golongan ASWJ sentiasa berpegang kepada tradisi ilmu dan amat teliti dalam isu kefatwaan. Semoga Allah menyelamatkan kita semua dari fitnah, salah laku dan dosa kezaliman," katanya dalam kenyataan.

Katanya, jika ada kesalahan jenayah melibatkan hak-hak kemanusiaan maka pihak polis akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan jika melibatkan isu akidah, syariah dan akhlak Islam maka ia berada di bawah bidang kuasa agama negeri masing-masing.

Semalam Abu Hafiz mencadangkan agar Jakim dirombak susulan lewat bertindak ke atas GISBH.

Ahli akademik itu berkata ada beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu memberi perhatian serius kepada dapatan dikumpulkan pengkaji serta aktivis yang memantau GISBH.

Tiada ulasan: