Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
RANGKA lelaki warga emas yang dipercayai meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu di sebuah pangsapuri di Kepong, Sentul, pada Khamis. FOTO Tular
Kuala Lumpur: Penduduk di sebuah pangsapuri di Kepong di sini, gempar dengan penemuan rangka manusia yang dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira empat tahun lalu.
Mayat lelaki warga emas berusia 60-an terbabit ditemukan anaknya yang ke rumah berkenaan mencari bapanya yang tidak dapat dihubungi sejak 2020.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, polis menerima laporan daripada lelaki yang juga anak mangsa pada 5 September lalu.
"Berdasarkan laporan, pengadu sampai di rumah mendapati pintu dalam keadaan berkunci.
"Selepas memecahkan pintu kelihatan mayat ayahnya sudah meninggal dunia dalam keadaan hanya tinggal rangka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, soal siasat mendapati mangsa tinggal berseorangan selepas bercerai dengan ibu pengadu dan kali terakhir pengadu berhubung dengan bapanya pada 2020.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga namun tempoh kematiannya tidak dapat dipastikan.
Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai penemuan mayat warga emas itu yang sudah tidak kelihatan sejak empat tahun lalu.
Menerusi mesej tular, mangsa pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk mahu pulang ke kampung sebelum kehilangannya.
"Sehinggakan semalam (5 September) anak arwah datang mencari dan pihak pengurusan terpaksa mengumpil kunci untuk melihat keadaan rumah.
"Ramai terkejut kerana tiada siapa yang mengetahui dan tiada bau busuk di kawasan berkenaan," tulis mesej tular berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan