NS Ramli
Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan polis sudah memulakan siasatan terhadap kumpulan perniagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).
Razarudin berkata serbuan melalui Op Global itu dibuat di premis GISBH sekitar Selangor dan Negeri Sembilan, bermula jam enam pagi hingga 11 pagi tadi.
Dia berkata serbuan dibuat selepas polis menerima laporan pada 2 September lalu berhubung dakwaan pengabaian kanak-kanak, amang seksual dan perbuatan cabul terhadap kanak-kanak di rumah penjagaan dipercayai milik GISBH di Negeri Sembilan dan Selangor.
"Hasil serbuan (pagi tadi), kita berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun.
"Sebanyak 18 premis dipercayai milik GISBH diserbu dan seramai 171 suspek berusia antara 17 hingga 64 tahun berjaya kita tahan," katanya dalam sidang media khas di Kuantan, hari ini.
Dia berkata Op Global melibatkan 705 pegawai dan anggota polis dan dibantu 287 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia.
‘Kanak-kanak diajar liwat’
Razarudin mendakwa antara modus operandi yang digunakan kumpulan itu termasuk kanak-kanak diajar cara meliwat.
“Daripada risikan dan keterangan yang kita dapat, modus operandi GISBH ini, mangsa-mangsa diajar meliwat dan seterusnya mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa melihat penghuni kanak-kanak yang lain.
“Ini daripada risikan dan percakapan awal yang kita telah rakam,” kata Razarudin.
Kata Razarudin lagi, mereka juga menggunakan sentimen agama untuk meraih simpati bagi mendapatkan sumbangan.
"Ada juga mangsa yang tidak dibenarkan mendapat rawatan jika tidak sihat hingga berada dalam kritikal.
"Penjaga rumah amal juga didakwa menggunakan objek dipanaskan untuk mencederakan mangsa sebagai hukuman atas kesalahan dilakukan.
"Selain itu, bahagian tubuh mangsa disentuh oleh penjaga kononnya untuk tujuan perubatan Islam," katanya lagi.
Razarudin berkata GISBH kini disiasat antaranya mengikut Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611), Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan