"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ramai ‘menyumpah’ kes kanak-kanak di Global Ikhwan diliwat, diajar liwat

SITI NUR ZAWANI

Pada semalam negara dikejutkan dengan berita sebuah syarikat amal yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak secara besar-besaran untuk menjadi pekerja dan melakukan pengabaian.

Menurut laporan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, serbuan di 20 buah rumah kendalian Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mendapati kanak-kanak di rumah amal itu telah diajar dan dididik cara meliwat.

Kanak-kanak yang diliwat oleh penjaga, seterusnya akan dipaksa untuk meliwat kanak-kanak yang lain.

Berita itu ternyata membangkitkan kemarahan ramai yang meluahkan kekecewaan dan mendesak agar dalang utama dihadapkan ke mahkamah.

Rata-rata kecewa bagaimana kumpulan perniagaan yang menggunakan nama agama itu seolah menyemai sistem perhambaan, memperguna kanak-kanak untuk mendapat sumbangan.

Satu desakan diutarakan agar segala jenis perniagaan atas nama GISB diharamkan sepenuhnya.

Kegiatan mendoktrin kanak-kanak dengan menggunakan nama agama dianggap tindakan melampau.

Dua laman Facebook yang banyak mendedahkan salah laku Global Ikhwan iaitu PW Community dan Scam No One turut menjadi tumpuan.

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mendapat penghargaan dari orang ramai kerana dikatakan menjadi individu terawal yang banyak mengkritik syarikat tersebut.

Sementara itu malam tadi Global Ikhwan menafikan dakwaan mereka mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Dalam satu kenyataan, GISBH menegaskan pihak mereka tidak akan berkompromi dengan aktiviti yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kanak-kanak.

Tiada ulasan: