Harapandaily
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim meminta penjelasan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendakwa kerajaan pada masa ini cuba menutup mulut pembangkang.
Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menegaskan bahawa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri tidak pernah lagi disekat bersuara walaupun pelbagai tohmahan dimuntahkan.
“Saya mohon saudara Afnan untuk nyatakan mulut siapakah yang ditutup oleh kerajaan hari ini.
“Bahkan, presiden parti saudara sendiri tanpa segan silu menggelar pimpinan kerajaan dengan pelbagai gelaran dan hinaan, tidak pernah lagi ditutup mulutnya.
“Kafir, tidak beroleh hidayah, dajal, agen zionis?” katanya menerusi platform X.
Terdahulu, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar mendakwa Putrajaya diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil “tindakan keterlaluan” terhadap mereka yang mengkritik dasar-dasar kerajaan.
Dakwanya lagi, ada antara mereka yang mengkritik kerajaan Madani malah ditahan dan alat komunikasi dirampas oleh pihak berkuasa kerana bersuara.
Dia juga menggelar Kerajaan Madani telah menjadi lebih kuku besi selain menganggap kebebasan bersuara semakin buruk seperti digambarkan dalam kemerosotan Indeks Kebebasan Akhbar Dunia tahun ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyifatkan kenyataan anak kepada bekas Imam Besar Masjid Negara, Dato’ Taib Azamudden Md Taib itu sebagai tidak lebih sekadar cubaan untuk membina persepsi bahawa kerajaan hari ini mengekang kebebasan bersuara.
“Saudara juga harus faham bahawa kebebasan bersuara itu tidak termasuk kebebasan menghina, mencerca dan memfitnah,” tegasnya sambil berkongsikan petikan ayat dua dari Surah Al-Ma’idah (Hidangan).
Terjemahan surah itu ialah, “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan