"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH ‘jahanam’ kali kedua jika terus kerjasama dengan Dr M,

Faiz Zainudin

Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim Otai Reformis berkata, PH melakukan kesilapan besar dengan memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ke-7 kerana banyak janji yang tidak ditunaikan.

PETALING JAYA:Kumpulan penyokong Anwar Ibrahim menyokong penuh pendirian terbaharu ketua pembangkang itu untuk memfokus kepada pilihan raya umum akan datang berbanding rancangan mengambil alih pentadbiran negara dengan sokongan Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Bendahari Otai Reformis, Ronnie Liu berkata, langkah itu sewajarnya menjadi tumpuan ketua pembangkang bagi memperkuat Pakatan Harapan (PH) memandangkan pilihan raya umum ke-15 boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Adalah wajar PH memberi fokus kepada kerja persiapan PRU-15 yang mungkin berlaku pada bila bila masa,” katanya kepada FMT.

Beliau juga memberi “peringatan” kepada PH supaya tidak bekerjasama dengan kumpulan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bagi mengelak gabungan pembangkang itu “jahanam” kali kedua setelah hilang kuasa selepas 22 bulan memerintah.

“PH tidak boleh bergabung sekali lagi dengan Dr Mahathir yang telah kehilangan kredibiliti sebagai seorang pemimpin politik. Jika tidak, PH akan dijahanamkan sekali lagi,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek di Selangor mewakili DAP.

Seorang lagi penyokong tegar Anwar, Abdul Razak Ismail senada dengan Ronnie dengan berkata, sebarang bentuk kerjasama dengan Mahathir perlu dielak, selain menambah bahawa PH melakukan kesilapan besar dengan memberi kepercayaan kepada Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai perdana menteri ke-7 kerana banyak janji yang tidak dapat ditunaikan.

“Sebenarnya PKR-PH melakukan ‘kesalahan besar’ apabila bersetuju Dr Mahathir menyertai PH dan seterusnya mengangkat beliau sebagai perdana menteri ke-7 tempoh hari.

“Bukan saja PH gagal menunaikan janji manifestonya seperti menghapuskan PTPTN, kamera kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan menutup kilang Lynas.

“Malah pendedahan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini menyebut bahawa Mahathir sebenarnya tidak mahu tol dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata, tidak boleh “diterima akal” sekiranya PH masih mahu mengekalkan kerjasama dengan kumpulan Mahathir.

Razak yang juga setiausaha Otai Reformis turut mengingatkan PH supaya tidak bekerjasama dengan pemimpin Umno yang disifatkan cuba “bermain dua kolam” dengan menyokong Anwar dan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Sikap ‘talam dua muka’ Umno terserlah apabila tiada seorang pun Ahli Parlimennya menolak Belanjawan 2021 pada persidangan Parlimen tahun lepas sedangkan kita diberitahu tidak kurang 10 orang Ahli Parlimen parti itu menyokong Anwar.

“Ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam perhimpinam agung parti itu minggu lalu juga dengan lantang menyebut .No Anwar, No DAP dan No PPBM’.

“Ini sewajarnya menjadi isyarat jelas supaya PKR-PH segera menamatkan sebarang rundingan ‘di sebalik tabir’ beberapa orang pimpinan PKR dengan pemimpin Umno untuk bekerjasama dalam menghadapi PRU15 akan datang,” katanya.

Katanya, kenyataan terbaharu Anwar bahawa PH akan memfokus kepada persiapan PRU berbanding mengumpul Ahli Parlimen membentuk kerajaan baharu juga memberi kelegaan kepada penyokong dan akar umbi.

Beliau menggesa pucuk pimpinan PH, khususnya PKR supaya membersihkan parti daripada pemimpin yang mesra dan masih menyokong bekas timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

“Ramai penyokong setia Anwar berpandangan pemimpin ‘proksi Azmin’ yang kekal dalam parti akan memporakperandakan PKR sekiranya mereka terpilih sebagai calon dalam PRU15 akan datang.

“Ramai menjangka akan berlakunya agenda ‘lompat parti’ seperti yang berlaku sekarang,” katanya.

Datuk Wan Abdul Rahim mencadangkan agar pertandingan satu lawan satu di Kelantan

BORHAN AHMAD

Veteran politik Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah mencadangkan agar pertandingan satu lawan satu  berlaku di Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, katanya, Pakatan Harapan perlu berunding dengan mana-mana pihak di Kelantan agar berlaku pertandingan satu lawan satu antara pembangkang melawan Perikatan Nasional (PN) di negeri pantai timur itu.

Wan Rahim yang merupakan Pengarah Pilihan Raya PH Kelantan berkata, gabungan itu perlu berunding dengan semua pihak untuk mempastikan pertandingan satu lawan satu itu berlaku.

Antaranya adalah berunding dengan Umno yang dipimpin oleh veteran politiknya Tengku Razaleigh Hamzah dan juga Putera yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali.

“Kita bukan nak bergabung sebab PH adalah gabungan yang terbaik yang kita telah ada tetapi bekerjasama dengan pembangkang yang lain melawan kerajaan Perikatan Nasional adalah diperlukan,” Wan Rahim yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu.

Wan Rahim berkata demikian dalam Wacana Politik Kelatan siri ke 5 yang diadakan secara langsung melalui Facebook Amanah Kelantan malam tadi.

Wacana Politik Kelantan yang disertai Wan Rahim dan Che Ibrahim manakala moderatornya adalah Zahari Sidek malam tadi.

Turut serta sebagai ahli penal adalah Che Ibrahim Mohamed, Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan. Moderator program ini adalah Zahari Sidek, Pengarah Komunikasi AMANAH Kelantan.

Dalam wacana itu, Wan Rahim yakin, apabila tiga pemimpin iaitu Pengerusi PH Kelantan Ustaz Muhammad Husain berunding dengan Ku Li dan Ibrahim, satu tawaran yang baik boleh diberikan kepada rakyat Kelantan.

Ini kerana ketiga-tiga mereka adalah veteran politik Kelantan yang memahami apa yang dikehendaki rakyat negeri itu.

Ustaz Che Ibrahim menyokong penuh cadangan Wan Rahim itu kerana rakyat Kelantan perlu diberikan alternatif terhadap kerajaan Pas yang ada sekarang.

Ini kerana, selepas 30 tahun mentadbir Kelantan, sudah jelas kepada rakyat negeri ini mereka perlukan satu harapan baharu selepas kerajaan yang ada gagal mentadbir dengan baik.

“Kerajaan yang ada gagal membuat sesuatu yang baharu untuk rakyat, hanya sekadar melangsung apa yang Tok Guru Nik Aziz buat dahulu sahaja.

“Masalah air, tanah dan nasib guru-guru YIK (Yayasan Islam Kelantan) perlukan pembelaan dan ini gagal dibuat oleh kerajaan negeri yang ada,” kata beliau.

Che Ibrahim, bekas Kadhi Kota Bharu itu juga berkata, kalau dahulu harapan rakyat adalah untuk melihat kerajaan Islam ditubuhkan di Kelantan dengan menyokong Pas.

“Tetapi apa beza kerajaan Islam Kelantan dengan kerajaan-kerajaan negeri lain di Malaysia dari segi keIslamannya sekarang. Tidak ada,” kata beliau dalam wacana politik itu.

Oleh itu, katanya, rakyat Kelantan perlu diberi pilihan lain selain dari kerajaan Pas yang ada ini dengan cara semua parti-parti pembangkang bekerjasama melawan kerajaan PN yang dikemudikan oleh Pas di Kelantan.

Berhubung dengan soal siapa yang akan memimpin atau menjadi menteri besar Kelantan selepas pilihan raya umum nanti, terserah kepada budibicara rakyat ketika membuat undi dalam PRU-15 nanti.

“Jika rakyat beri kerusi kepada Umno lebih, maka Umno akan menjadi menteri besar tetapi jika kerusi yang dimenangi oleh PH lebih, maka pemimpin PH yang akan menjadi menteri besar,” kata beliau dalam forum wacana itu.

Polis siasat 4 remaja perempuan bergaduh dalam video tular

FMT Reporters

Tangkap layar daripada klip video menunjukkan dua daripada tiga remaja menolak dan menyepak seorang gadis.

PETALING JAYA: Polis sedang mengesan empat remaja perempuan yang dilihat terbabit dalam pergaduhan menerusi satu klip video tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Zainuddin Md Yusuf dipetik Utusan Malaysia berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung pergaduhan itu.

Tetapi, katanya, berdasarkan maklumat diperolehi pihaknya, ia dikatakan berlaku di daerah itu dan mereka belum mengenal pasti identiti semua remaja terbabit.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dengan mengesan empat remaja yang dipaparkan dalam klip video tular itu,” katanya.

Dalam rakaman video selama 30 saat itu, tiga daripada remaja itu mengelilingi seorang mangsa, sebelum dua daripada mereka dilihat maki, menolak dan menyepak gadis terbabit berulang kali.

Bagaimanapun, mangsa tidak membalas dan sekadar mendiamkan diri.

Semua remaja perempuan itu didapati berbual dalam dialek Kelantan dan dipercayai rakaman itu bertujuan mengugut mangsa akibat rasa tidak berpuas hati terhadapnya.