MOHD YUNUS YAKKUB

Tangkap layar video tular menyaksikan seorang lelaki dilanggar MPV sebelum diserang sekumpulan individu di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, Shah Alam.
SHAH ALAM – Pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas dilanggar sebuah Perodua Alza dalam kejadian di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup mendapati sekumpulan lelaki terbabit dalam pergaduhan sehingga berlaku kejadian tetak antara mereka.

“Sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza berwarna biru melanggar salah seorang individu terbabit sehingga sehingga menyebabkan kematian di lokasi kejadian.
“Susulan itu, Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bertindak mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Jelas beliau, tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sarudin meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Shamsiah Noor Zakaria di talian 012-8308706 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, Kosmo Online! melaporkan dua lelaki ditetak sekumpulan individu dalam kejadian di Seksyen 28, di sini, hari ini.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang tular memaparkan kumpulan penyerang yang menaiki sebuah kereta dilihat meluru keluar sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring atas jalan.
Seorang lagi lelaki turut ditetak sebelum kumpulan tersebut beredar dari lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan