"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Murid tadika didakwa maut selepas ditampar guru

Agensi

New Delhi: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia di sebuah sekolah swasta di Andhra Pradesh, India, selepas dipercayai rebah dalam kelas susulan serangan oleh seorang guru, kata polis.

Memetik PTC News, kejadian itu terbongkar selepas video di dalam kelas berkenaan dilaporkan tersebar dalam talian pada Khamis.

Rakaman menunjukkan murid tadika itu berdiri berhampiran meja guru sambil memegang papan tulis kecil ketika kerja rumahnya diperiksa.

Kanak-kanak itu kelihatan sedih dan menangis, sebelum guru berkenaan dilihat memegang pakaian seragamnya dan dipercayai menampar mangsa.

Beberapa ketika kemudian, kanak-kanak itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri sebelum guru terbabit cuba menyedarkannya.

Kakitangan sekolah kemudian bergegas masuk ke kelas dan membawa kanak-kanak itu ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

Polis berkata, keadaan yang membawa kepada kematian kanak-kanak itu sedang disiasat, manakala seorang pegawai berkata, mangsa rebah di dalam kelas susulan dakwaan serangan guru berkenaan sebelum meninggal dunia.

Ahli keluarga mangsa kemudian mengadakan tunjuk perasaan dan mendakwa, kanak-kanak itu mengalami rebah yang membawa maut selepas berdepan ketakutan serta tekanan melampau.

Punca sebenar kematian dari sudut perubatan akan ditentukan menerusi siasatan yang sedang dijalankan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Andhra Pradesh, Nara Lokesh menyifatkan, kejadian itu amat menyedihkan dan berkata, tindakan akan diambil terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab.

Beliau turut berkata, pihak pengurusan sekolah akan dikenakan tindakan sekiranya didapati bersalah, selain menyampaikan ucapan takziah kepada ibu bapa mangsa dan memberi jaminan kerajaan akan membantu keluarga berkenaan.

Jabatan Pendidikan Sekolah berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan mengarahkan siasatan sebelum menubuhkan jawatankuasa tiga anggota terdiri daripada Pengarah Bersama Wilayah Visakhapatnam, Pegawai Pendidikan Daerah dan Pegawai Bahagian Hasil.

Polis sudah membuka kes berkaitan kematian mencurigakan atau tidak semula jadi.
-hmetro 

Tiada ulasan: