"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 wanita pengsan tercampak pelampung taman tema

AMRAN ALI
SALAH seorang mangsa menerima rawatan selepas dipercayai tercampak daripada pelampung ketika bermain gelongsor air di sebuah taman tema di Ayer Keroh, Melaka.
MELAKA – Dua wanita pengsan selepas dipercayai tercampak daripada pelampung ketika bermain gelongsor air di sebuah taman tema di Ayer Keroh, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu membabitkan dua mangsa berusia 46 dan 31 tahun.

Menurutnya, kedua-dua mangsa menaiki pelampung berkembar ketika bermain permainan air.

“Mangsa berusia 46 tahun berada di bahagian hadapan, manakala seorang lagi berada di belakang. Ketika menuruni gelongsor, pelampung itu dikatakan melanggar sesuatu menyebabkan mangsa di hadapan terhantuk pada dinding gelongsor,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Halim berkata, anak mangsa yang berada di lokasi melihat ibu dan ibu saudaranya keluar dari gelongsor tanpa pelampung.

Katanya, kedua-dua mangsa juga tidak memasuki ruang air seperti sepatutnya sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Kedua-dua wanita itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Mangsa berusia 46 tahun cedera di bawah dagu, sakit pada bahagian kepala dan dada selain luka di lutut.

“Pemeriksaan sinar-X tidak menemukan sebarang kecederaan, namun imbasan tomografi berkomputer mendapati terdapat sedikit darah beku pada bahagian kanan kepala mangsa. Mangsa berusia 31 tahun pula tidak dapat mengingati kejadian, hanya tersedar ketika berada di bahagian terbuka gelongsor.

“Pemeriksaan di sebuah hospital swasta mendapati mangsa mengalami gegaran otak, namun tiada kecederaan lain dilaporkan,” jelasnya.

Halim berkata, laporan polis dibuat oleh anak mangsa yang berusia 22 tahun pada pukul 11.05 pagi keesokannya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pihak taman tema selain mahu membuat tuntutan insurans. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: