FMT Reporters
PETALING JAYA: Lelaki diberkas susulan penemuan al-Quran dibakar dalam kejadian di tepi padang bola, Taman Bandar Senawang, selain kecurian kitab suci umat Islam itu di sebuah masjid di Seremban.
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad, berkata suspek berusia 25 tahun itu ditahan semalam dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Abdul Rahman, Chow Kit, dengan pemeriksaan menemukan 16 naskhah al-Quran.
“Hasil siasatan awal mendapati semua naskhah al-Quran yang ditemukan dalam beg milik suspek dipercayai dibawa keluar tanpa izin pihak masjid dan surau sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan polis selanjutnya di rumah milik keluarga suspek di Senawang menemukan 36 kulit al-Quran dalam bilik tempat tinggal suspek,” katanya dalam kenyataan.
Pada 22 Ogos, IPD Seremban menerima pemakluman kebakaran kecil melibatkan beberapa naskhah al-Quran, dengan pada hari sama juga laporan kecurian al-Quran berlaku di sebuah masjid di kawsan Forest Height, Seremban.
Dalam pada itu, Alzafny berkata, pihaknya percaya penemuan 36 kulit al-Quran itu mempunyai kaitan kes pembakaran kitab suci di tepi padang bola seperti dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380/295 Kanun Keseksaan dengan suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan