"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sembelih 500 ekor kucing sehari

Agensi
KUCING yang diselamatkan dari sebuah pusat sembelihan. FOTO Soi Dog Foundation International.
KUCING yang diselamatkan dari sebuah pusat sembelihan. FOTO Soi Dog Foundation International.
Bangkok: Sebuah pusat penyembelihan kucing berskala industri di wilayah Dong Thap, Vietnam, yang mampu menyembelih sehingga 500 ekor kucing sehari, menghentikan semua operasi berikutan campur tangan daripada pihak berkuasa.

Rumah penyembelihan yang sudah beroperasi lebih sedekad lalu itu diarah tutup susulan serbuan polis beberapa minggu lalu, selepas mendapati pemiliknya tidak mempunyai kertas kerja yang diperlukan.

Thethaiger melaporkan, lebih lima tan daging kucing beku turut dimusnahkan di hadapan pemilik yang masih cuba merayu.

Kes itu dianggap detik penting bagi pusat kebajikan haiwan Vietnam, Soi Dog Foundation International, sebuah organisasi kebajikan haiwan berpangkalan di Thailand yang berjuang untuk menamatkan perdagangan daging anjing dan kucing di seluruh Asia.

Organisasi itu turut menjaga 197 kucing yang diselamatkan dari rumah sembelihan itu.

"Ini kali pertama kami melihat operasi ini ditangani dengan sebaiknya, dan kami sangat gembira dengan hasilnya.

"Kucing yang ditemui di pusat sembelihan itu kemudian diberi rawatan segera.

"Ketika mula ditemui, 90 peratus kucing ini dilihat dalam keadaan tertekan, namun kini haiwan itu bertambah baik.

"Kebanyakan haiwan itu sudah dibersih dan disterilkan membuatkan kami percaya ia dicuri untuk dijual," kata," kata jurucakap yayasan itu.

Rumah penyembelihan Dong Thap itu dipercayai menyembelih sehingga 500 ekor kucing sehari menggunakan jentera perindustrian.

Selepas disembelih, badan kucing akan dimasukkan ke dalam air mendidih dan bulu dikeluarkan menggunakan mesin 'defurring'.

Media tempatan melabelkannya sebagai 'pencuri hebat' dan pembunuh haiwan peliharaan.

Malah, bagi memastikan bekalan kucing mencukupi pemilik pusat sembelihan itu mencuri haiwan peliharaan atau yang sesat itu menggunakan jerat khas.

Sesetengah kucing disembelih, dibekukan dan dijual untuk kegunaan perubatan, manakala yang lain disumbat ke dalam sangkar hidup-hidup dan dihantar ke utara Vietnam serta China, yang mana permintaannya lebih tinggi berbanding Selatan.
-hmetro 

Tuan Ibrahim: Muafakat Nasional tak mati cuma ‘pengsan’

Nora Mahpar dan Faiz Zainuddin

KUALA LUMPUR: Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan PAS dan Umno masih bernyawa sungguhpun dalam keadaan “pengsan” ketika ini, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata walaupun dua parti itu dalam kerangka politik berbeza, mereka perlu bersama “menyatukan umat Islam”.

PAS dan Umno sebelum ini saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka empat tahun lalu.

Hubungan dua parti itu tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu sekali gus mahukan parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana melihat Bersatu sebagai pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

Dalam wawancara dengan FMT baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata MN tidak patut dilihat sebagai terkubur.

“MN belum mati lagi, (cuma) sedang ‘pengsan’,” katanya ringkas mengulas kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada 15 Mac lalu yang partinya akan terus bersikap “husnuzon” (bersangka baik) terhadap MN.

Zahid turut memberi gambaran hala tuju gagasan itu mungkin akan berubah sekiranya pemimpin parti bertukar.

MN digagaskan Umno dan PAS ketika dalam blok pembangkang sebagai usaha penyatuan ummah pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Seludup pendatang asing, lima pegawai Imigresen ditahan

Imigresen kerjasama agensi lain elak sempadan bolos

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen (JIM) bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain untuk memastikan tiada kebolosan pendatang asing di pintu masuk negara seperti berlaku di Sabah baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya, Ruslin Jusoh, berkata pihaknya sentiasa memberi komitmen tinggi bagi membanteras segala bentuk pelanggaran integriti membabitkan kakitangan jabatan itu.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis bagi memastikan tiada kebolosan pendatang asing ke negara,” katanya menurut Berita Harian.

Hari ini media melaporkan lima pegawai Imigresen di Sabah ditahan Khamis lalu kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan pendatang asing.

Mereka yang bertugas di Lapangan Terbang Tawau ditahan antara 2 petang hingga 9 malam dalam Ops Lancar oleh SPRM.

Pegawai berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki.

Empat lagi individu awam, disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan di sekitar Tawau, antara 3 petang hingga 5 petang hari sama.